Datuk Kamarudin Ismail merasmikan bas sumbangan Koperasi SMK Kota Kemuning Shah Alam Berhad bernilai RM65,000 sebagai simbol kerjasama dan perkongsian keuntungan koperasi dengan warga sekolah.
Datuk Kamarudin Ismail merasmikan bas sumbangan Koperasi SMK Kota Kemuning Shah Alam Berhad bernilai RM65,000 sebagai simbol kerjasama dan perkongsian keuntungan koperasi dengan warga sekolah.

SMK Kota Kemuning beli bas hasil keuntungan hari koperasi

16 Oct 2024 11:09am

Program Hari Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor diwujudkan bukan sekadar meraih keuntungan tetapi dijadikan juga sebagai platform keusahawanan.

Lebih menarik, hasil keuntungan dan kutipan sumbangan sempena hari koperasi itu, SMK Kota Kemuning berjaya membeli sebuah bas sekolah.

Pengetuanya, Mohd Fauzi Zailan berkata, sebanyak 62 tapak jualan disewakan dan anggaran keuntungan jualan pada hari itu mencecah RM40,000.

"Penganjuran program hari koperasi yang julung kali diadakan ini berjaya menggalakkan penglibatan pelajar secara optimum dalam aktiviti yang diadakan.

“Mereka secara sukarela melibatkan diri dalam urusan pemilihan produk jualan, persiapan gerai, promosi dan urusan jual beli.

“Hal ini memberikan pendedahan dan peluang kepada mereka untuk mengaplikasikan pelbagai pengetahuan dan kemahiran terutamanya dalam aspek komunikasi dan keusahawanan.

“Terima kasih atas sokongan seluruh warga sekolah, pelajar-pelajar, ibu bapa dan para guru khususnya. Semoga usaha yang digemblengkan membawa pulangan bermanfaat buat semua yang terlibat," katanya.

Hari Koperasi 2024 SMK Kota Kemuning menawarkan pelbagai jualan dan aktiviti menarik seperti jualan makanan, minuman, buah-buahan, barangan kraftangan, pakaian dan aksesori gajet.

Turut diadakan pelbagai aktiviti unik yang mengikut peredaran zaman bagi menarik minat pengunjung seperti rumah hantu, mini zoo, '360-photo booth', gerai permainan dan karaoke.

Mohd Fauzi berkata lagi, Koperasi SMK Kota Kemuning Shah Alam Berhad turut diiktiraf sebagai salah satu koperasi sekolah di Selangor yang berjaya mencapai perolehan RM1 juta.

Untuk rekod, antara sumbangan kebajikan daripada pihak koperasi seperti bantuan kepada murid kurang berkemampuan, pembiayaan naik taraf pentas utama dengan rumput karpet, pemberian baju korporat kepada guru dan staf.

Ia juga membabitkan tajaan sebahagian program pengantarabangsaan, sumbangan majlis Hi-Tea sekolah, tajaan jurulatih dan hadiah pertandingan Petanque serta sumbangan bas sekolah bernilai RM65,000.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp