SMK Pengkalan Lebai Man, Johan Digital Utilisation and Technology Awards (DUTA) 2022

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
28 Jul 2023 05:42pm

Membawa misi ‘Now We Are Different’ sejak 2019, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Lebai Man, Kedah ingin mewujudkan persekitaran yang bukan sahaja ceria tetapi berinformasi buat semua warga sekolahnya.

SMK Pengkalan Lebai Man berjaya mengalah sekolah dari 14 negeri, berjaya rangkul Johan DUTA 2022.
SMK Pengkalan Lebai Man berjaya mengalah sekolah dari 14 negeri, berjaya rangkul Johan DUTA 2022.

Hasil tidak akan pernah mengkhianati usaha dan berkat kegigihan sejak empat tahun lalu ia telah menobatkan SMK Pengkalan Lebai Man sebagai Johan Digital Utilisation and Technology Awards (DUTA) Peringkat Kebangsaan 2022 bagi kategori Pusat Sumber Cemerlang (PSS) Sekolah Menengah.

Guru Perpustakaan dan Media (GPM) sekolah berkenaan, Cikgu Ahmad Hariri Abdul Rahman berkata, pencapaian tersebut satu pengiktirafan buat warga sekolah yang berusaha gigih mewujudkan sudut bacaan di kawasan persekitaran di samping menjadikan suasana sekolah lebih interaktif dan menarik.

Menurut Cikgu Ahmad, sekolah merupakan rumah kedua bagi pelajar-pelajar dalam menuntut ilmu serta kemahiran berguna demi melahirkan lebih ramai insan berilmu selain menjamin masa depan yang lebih cerah.

“Justeru itu saya bersama pelajar serta warga sekolah berusaha untuk merealisasikan pusat sumber sekolah ini yang tidak hanya memfokuskan satu ruang iaitu di sebuah bilik sahaja tetapi satu sekolah dijadikan tempat menimba ilmu.

“Ia dilihat satu alternatif baharu dalam system Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) luar bilik darjah yang membolehkan pelajar mengakses maklumat selain membantu mereka mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah seperti membaca,” ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Lebih memeranjatkan, kegigihan menceriakan kawasan sekolah dengan sudut bacaan itu telah membantu meningkatkan peratusan kehadiran pelajar ke sekolah yang dikatakan berbeza sebelum ia dibangunkan.

Artikel Berkaitan:

Beritahu Cikgu Ahmad lagi, jika sebelum ini pada 2019 peratusan kehadiran pelajar hanya mencapai 80 peratus kini dengan adanya PSS dan sudut yang cantik lagi menarik telah berjaya meningkatkan peratusan kehadiran sehingga mencecah 90 peratus.

“Dengan adanya PSS dan sudut bacaan di kawasan persekitaran sekolah saya lihat pelajar gemar menghabiskan masa terutamanya waktu rehat di tempat tersebut sama ada dengan membaca atau berbincang bersama rakan-rakan.

“Mungkin suasananya lebih cantik dan ceria menjadikan mereka lebih suka duduk di sudut yang dihasilkan dan ia sudah cukup membuktikan tempat tersebut tidak dibangunkan dengan sia-sia,” tambahnya lagi.

Kini, setiap minggu SMK Pengkalan Lebai Man menerima kunjungan daripada agensi pendidikan dan bukan pendidikan sebagai penanda aras untuk dijadikan rujukan.

Mengulas lanjut mengenai perancangannya sebagai guru Perpustakaan dan Media sekolah, Cikgu Ahmad memberitahu, kini dia sedang giat membangunkan satu lagi sudut bacaan atau mini library di kantin.

Kata beliau, sudut berkenaan boleh digunakan oleh semua pelajar pada waktu rehat sekiranya terdapat sesetengah mereka yang tidak makan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp