SMK Shah Alam laung amaran awal julang Piala Sumbangsih
Jaringan tunggal Hazif Hakim Noorfaezal membolehkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam menjulang Piala Sumbangsih Kejohanan Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 tahun (B-15) 2023.
Dalam aksi di padang sintetik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 19 Shah Alam, Selangor pada Rabu, gol pada penghujung separuh masa kedua itu membolehkan SMK Shah Alam melakar kemenangan 1-0 ke atas SMK Dato' Harun, Tanjung Karang.
Pengendali skuad B-15 SMK Shah Alam, Akid Zanggi menyifatkan kemenangan pasukannya itu hasil kerja keras setiap pemain walaupun mendapat tentangan sengit lawan.
Menurutnya, kemenangan sulung pasukannya dalam aksi Piala Sumbangsih itu juga sebagai tonik berharga untuk mempertahankan Piala Datuk Mokhtar Dahari tahun ini.
“Kemenangan yang diraih hari ini bukan mudah mungkin kerana faktor cuaca yang agak panas pada separuh masa pertama.
“Namun, pada separuh masa kedua kami berjaya mempamerkan permainan lebih tersusun dan memperoleh gol pada penghujung perlawanan,” katanya.
Saingan peringkat kumpulan Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 bermula pada Rabu hingga 4 Disember.
Kesemua pasukan terbabit dibahagikan kepada lapan kumpulan yang menyaksikan setiap kumpulan mengandungi empat pasukan.
Juara dan naib juara kumpulan layak ke pusingan kedua yang akan berlangsung pada 27 November.
Kemudiannya diikuti dengan perlawanan suku akhir pada 29 November, separuh akhir (1 Disember) dan perlawanan akhir (4 Disember).
Kejohanan Piala Datuk Mokhtar Dahari itu mendapat tajaan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), manakala Sinar Harian sebagai akhbar rasmi.