SMK St Anthony juara, DIY Made Simple 2023.
SMK St Anthony juara, DIY Made Simple 2023.

SMK St Anthony raih juara DIY Made Simple 2023, cipta ET Block guna bahan terpakai

AZLEENDA SAHALUDIN
22 Sep 2023 10:12am
A
A
A

Berjaya menghasilkan bangku diperbuat daripada barangan terpakai telah mengangkat lima pelajar dan dua guru pengiring dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Anthony, Sarikei, Sarawak diumumkan sebagai juara dalam pertandingan DIY Made Simple 2023 pada Khamis.

Mereka turut diberi bimbingan dan tunjuk ajar daripada pensyarah Fakulti Alam Bina Universiti Malaysia (UM) dalam menghasilkan tempat duduk diberi nama ET Block.

ET Block adalah bangku yang dihasilkan oleh pelajar SMK St Anthony dengan menggunakan bahan kitar semula.
ET Block adalah bangku yang dihasilkan oleh pelajar SMK St Anthony dengan menggunakan bahan kitar semula.

Menurut salah seorang guru pengiring, Cikgu Dayang Hadzar Abang Solhi, idea menghasilkan ET Block itu tercetus apabila melihat masalah kekurangan tempat duduk memandangkan jumlah pelajar yang ramai di sekolah berkenaan.

“Kita melihat ramai pelajar ini perlu berdiri lama sambil menunggu untuk dijemput ibu bapa selepas tamat persekolahan dan kasihan akan situasi ini telah mencetuskan idea untuk hasilkan tempat duduk yang menggunakan barangan terpakai.

“Barang utama yang digunakan adalah bekas telur, kain terpakai dan plastik yang dikumpulkan oleh pelajar sendiri termasuklah sumbangan ibu bapa,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pengumuman Pemenang DIY Made Simple 2023 di Dewan Tunku Canselor, UM.

Selain itu, wakil pelajar, Mark Giey Anak Nebin tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira dan terujanya ketika diumumkan sebagai pemenang pertandingan itu bagi tahun ini.

Katanya, dia bersama empat rakan lain mengambil masa selama tiga bulan untuk menghasilkan bangku tersebut selain perlu membahagikan masa dengan pelajaran.

Artikel Berkaitan:

“Saya akui ia agak memenatkan apabila perlu bertungkus-lumus menyiapkan produk untuk pertandingan ini selepas tamat waktu sekolah pada pukul 3 petang.

“Namun saya tetap cuba mencari masa terluang untuk menyiapkan kerja sekolah dan mengulang kaji pelajaran bagi memperoleh keputusan cemerlang dalam akademik memandangkan kami semua merupakan pelajar Tingkatan Lima” ujarnya.

Para pemenang anugerah utama DIY Made Simple 2023.
Para pemenang anugerah utama DIY Made Simple 2023.

Hadiah disampaikan oleh Pengerusi MR D.I.Y Group (M) Berhad, Datuk Azlam Shah Alias dan Pengarah Pusat Jalinan Masyarakat UM (UMCares), Profesor Madya Dr Amer Siddiq Amer Nordin.

Sementara itu, Azlam Shah berkata, DIY Made Simple 2023 mendapat penyertaan tertinggi selepas tujuh tahun penganjurannya bersama UMCares dan Fakulti Alam Bina UM.

Membawa tema baru tahun ini iaitu ‘Repurposing Waste, Countering Cost of Living’, sebanyak 439 penyertaan telah diterima daripada 180 sekolah seluruh negara.

“Saya lihat ia satu perkembangan yang membanggakan dari satu tahun ke satu tahun dan turut kagum melihat setiap produk yang dihasilkan oleh pelajar dan guru dalam DIY Made Simple ini,” katanya.

DIY Made Simple 2023 menyaksikan SMK St Anthony sebagai juara membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM4,000 diikuti dengan SMK Kunak Jaya, Sabah di tempat kedua meraih wang tunai RM3,000.

Manakala di tempat ketiga pula dirangkul oleh Sekolah Menangah Sains Sultan Iskandar, Mersing, Johor membawa pulang RM2,000.

SMK Elopura 2, Sandakan, Sabah pula diumumkan tempat keempat serta membawa pulang RM1,000, manakala Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Kwang Hua, Klang, Selangor diumumkan tempat kelima dengan hadiah RM500.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok