Sukan wall climbing 'kena' pada jiwa Jimmy
Tatkala usia mencecah enam tahun, pemilik nama Jimmy Shahrul Hisham mula 'jatuh cinta' dengan sukan lasak wall climbing.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Utama Damansara 3, Petaling Jaya, Selangor itu memberitahu, minat kepada sukan berkenaan tercetus apabila mengikuti bapanya, Shahrul Hisham Tahir ke gimnasium rock climbing.
“Sebagai seorang kanak-kanak yang aktif, sukan ini sangat 'kena' dengan jiwa saya.
“Bahkan, ia sangat menyeronokkan kerana bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal dan mental tetapi perlu menyelesaikan 'puzzle' pada permukaan dinding memanjat,”katanya.
Mengulas mengenai keseronokan apabila menceburi sukan wall climbing, Jimmy yang kini berusia 14 tahun menambah, segala keputusan dan kejayaan ketika berada di tembok terletak di bahu diri sendiri.
Tuturnya, ia merupakan perkara yang digemari kerana sukan solo tersebut menterjemah usaha dan latihan keras yang dilakukan selama ini.
Bercerita mengenai pengalaman pertandingan antarabangsa, Jimmy mula menjejak kaki ke pentas antarabangsa di Denpasar, Bali, Indonesia.
“Melalui pertandingan-pertandingan antarabangsa, saya dapat mengenali atlet-atlet dari seluruh dunia dengan lebih dekat malah dapat berkongsi ilmu bersama mereka.
“Selain itu, pertandingan antarabangsa memberi pendedahan kepada 'route' baharu dengan bermacam masalah yang diilhamkan oleh routsetters dari pelbagai negara,” ujarnya yang pernah menyertai kejohanan antarabangsa seperti di Thailand, China, Singapura dan Jepun.
Beritahunya lagi, antara kenangan manis sepanjang berkecimpung dalam sukan berkenaan ialah berjaya merangkul tempat pertama pada pusingan ke-9 pertandingan The North Face Cup yang diadakan di Fukuoka, Jepun awal tahun ini.
“Saya juga pernah memenangi dua pingat emas pada kejohanan Sukan Mendaki Kebangsaan Bawah 12 tahun,” ujarnya.
Sementara itu, jurulatih sukan climbing Kebangsaan, Safwan Saleh Zainal Azhar memberitahu, sukan berkenaan sama juga seperti sukan-sukan lain yang memerlukan latihan berpanjangan untuk bergelar atlet terbaik.
“Bagaimanapun, sepanjang menjadi jurulatih, saya mendapati kanak-kanak lebih mudah mempelajarinya berbanding orang dewasa.
“Kebiasaannya, saya akan melatih atlet-atlet selama satu hingga dua jam di tembok manakala satu jam lagi akan digunakan untuk latihan memperkuatkan fizikal dan mental mereka,”kata lelaki berusia 36 tahun itu.
Dia yang merupakan jurulatih Bolder Ventures Climbing Gym memberitahu, sukan climbing semakin popular dalam kalangan penggemar sukan dunia dan negara ini.
Profil
Nama: Jimmy Shahrul Hisham
Umur: 14 tahun
Sekolah: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Utama Damansara 3, Petaling Jaya, Selangor.
Pencapaian:
Pencapaian
1. Dua kali memegang rekod kebangsaan: -
- Pendaki termuda mendaki The Dragons Horn - batuan granit tertinggi di Asia Tenggara dengan ketinggian 702 meter (m) ketika berusia sembilan tahun.
- Pendaki termuda melakukan abseiling terpanjang dengan jumlah penurunan sebanyak 253 m
2. Juara Kebangsaan bawah 12 tahun (U12) bagi kategori boulder and speed
3. Tempat kedua dan ketiga pertandingan National Championship bawah 17 tahun (U17)
4. Juara interschool climbing competition
5. Juara Boulder Crank Youth Competition 2023
6. Tempat kedia di KLiP, Singapore
7. Tempat ketiga di SG Climb One, Singapore
8. Meraih kedudukan keenam sebagai peserta termuda pada kejohanan Crank Lead 22’, Malaysia.
9. Meraih slot separuh akhir ketegori terbuka pertandingan South East Asia Bouldering League sebanyak dua kali di Thailand dan Singapura.
10. Mendapat tempat pertama Division 5 North Face Cup pusingan ke-9 Fukuoka 2023
11. Layak ke peringkat akhir dengan mendapat tempat pertama di Singapura untuk pertandingan SMU Gravical