Tiada inisiatif serius wujudkan MRSM berbayar
Tiada inisiatif serius berhubung cadangan untuk memperkenalkan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) berbayar setakat ini.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan itu merupakan cetusan dan hasrat daripada ahli-ahli alumni, Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (Ansara) yang telah dibincangkan sejak 2017 yang mahu MRSM berbayar diwujudkan untuk golongan berpendapatan tinggi.
“Kita belum ada apa-apa inisiatif secara serius kerana isu utamanya adalah bagaimana kita hendak menyantuni kehendak alumni Ansara yang kini mencecah 220,000 dengan kebanyakannya adalah golongan T20 yang bersaing dengan B40 diperingkat MRSM.
“Mereka yang cadangkan dan kita di peringkat MARA akan sentiasa memperhalusi cuma buat masa ini kita menagguhkan pembangunan MRSM baharu dan fokus menambah baik infrastruktur di 55 MRSM sedia ada.
"Ada dua lagi MRSM yang mula beroperasi hujung tahun ini selain akan tambah baik infrastruktur dan prasarana sedia ada," katanya kepada media selepas hadir program Hari MARA Bersama Rakyat dan Jelajah Pendidikan Luar Bandar, di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Pada Mac lalu, Asyraf Wajdi mencadangkan agar MRSM berbayar diwujudkan khusus untuk segmen masyarakat elit berpendapatan tinggi yang boleh diuruskan oleh Kumpulan MARA Corporation (MARA Corp).