10 langkah mudah kesedaran keselamatan siber
Guru dan pelajar merupakan individu yang sentiasa menggunakan internet untuk mengakses pelbagai maklumat penting.
Selain mencari fakta, mereka juga menjadikan internet sebagai saluran berkomunikasi secara pantas menggunakan media sosial, e-mel dan sebagainya.
Dalam keasyikan melayari internet, pengguna tentunya tidak menyedari mereka terdedah dengan jenayah siber iaitu aktiviti jenayah berkaitan teknologi dan komputer yang dihubungkan kepada internet.
Antara bentuk jenayah siber yang dimaksudkan adalah penipuan, kecurian maklumat, menyalin perisian secara tidak sah, pengintipan, judi siber, pornografi, penggodam @ hacker, penyebaran virus dan penyaluran maklumat-maklumat palsu.
Dalam konteks ini, ramai pihak melahirkan kebimbangan terhadap jenayah siber dan paling merungsingkan adalah golongan pelajar yang banyak menghabiskan masa dalam dunia siber dan kemungkinan terdedah melakukan jenayah siber atau menjadi mangsa.
Bagi menangani masalah tersebut daripada berleluasa, Sinar Bestari senaraikan 10 langkah mudah kesedaran keselamatan siber untuk pendidik dan pelajar praktikkan.
Diharapkan perkongsian ini membawa manfaat kepada semua pengguna internet.
1) Kata laluan
- Gunakan kata laluan yang kreatif (gabungan huruf, nombor dan simbol).
- Elakkan daripada mendedahkan kata laluan kepada orang lain.
- Sentiasa tukar kata laluan secara berkala dan elakkan daripada menggunakan kata laluan yang sama (berulang).
- Sulitkan (encrypt) penghantaran dokumen rasmi kerajaan dengan kata laluan.
2) Kemas kini perisian keselamatan
- Lengkapkan komputer dan gajet dengan perisian keselamatan (seperti anti-virus dan anti–spyware) terkini.
- Elakkan guna perisian keselamatan yang telah tamat tempoh.
3) Simpan dan lindungi maklumat
- Elakkan memuat naik dokumen rasmi kerajaan dalam public cloud.
- Sentiasa imbas peranti storan sebelum menggunakannya.
- Sentiasa sediakan salinan pendua maklumat digital secara berkala.
- Jangan tinggalkan komputer dan gajet tanpa sebarang pengawasan.
- Putuskan sambungan internet atau wi-fi sekiranya tidak menggunakannya lagi.
4) Elak terpedaya
- Elakkan daripada terus mempercayai kandungan laman sesawang, blog dan e-mel yang diragui atau daripada orang tidak dikenali.
- Semak dan rujuk kepada sumber yang sahih.
5) Beretika menggunakan internet dan media sosial
- Elakkan berkongsi maklumat peribadi dan maklumat berkaitan tugas rasmi di internet dan media sosial.
- Elakkan membuat komen mengenai isu yang melibatkan agensi, organisasi atau yang berbentuk serangan peribadi.
- Kenal pasti rakan media sosial anda.
6) Waspada jenayah siber
- Jangan benarkan individu lain menggunakan identiti dan kata laluan akaun e-mel dan media sosial anda.
- Tidak menyebarkan kandungan yang berunsur lucah, fitnah, hasutan, skim cepat kaya dan ideologi keganasan.
- Jangan mudah terpedaya dengan tawaran atau maklumat daripada individu tidak dikenali yang menghubungi anda melalui emel atau media sosial.
7) Fikir sebelum klik
- Jangan klik pada e-mel, pautan atau lampiran mencurigakan (termasuk dari orang tidak dikenali). Padamkan e-mel tersebut.
8) Laporkan
- Laporkan sebarang insiden kebocoran maklumat kepada pihak berkaitan seperti pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang insiden jenayah siber seperti penipuan internet.
9) Ambil tahu
- Peka dengan trend ancaman siber terkini.
- Peka, fahami dan waspada mengenai kesan negatif akibat penyalahgunaan internet.
10) Patuhi
- Ketahui dan patuhi polisi, arahan, peraturan, garis panduan dan pekeliling berkaitan keselamatan siber yang dikeluarkan agensi, organisasi dan kerajaan.