3 tip cemerlang skor subjek Pendidikan Islam bagi Tingkatan 1 hingga 3
Ramai pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga mengeluh kerana sukar untuk skor markah dalam peperiksaan subjek Pendidikan Islam.
Kata mereka, soalan yang paling susah dijawab adalah kumpulan soalan berbentuk Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
Kenyataan ini turut diakui Guru Pendidikan Islam, Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah, Raub, Pahang, Ustazah Norhana Mohamed Salleh.
Menurutnya, soalan KBAT dalam kertas Pendidikan Islam Menengah Rendah ada dalam setiap bahagian iaitu al-Quran, Hadis, Aqidah, Fekah, Sirah dan Akhlak.
“Saya dapati, masalah sebenar yang dihadapi para pelajar ini adalah memahami kehendak soalan.
“Sebagai contoh, soalan yang berbentuk begini...ALLAH SWT Maha Pemurah terhadap semua makhluk ciptaanNya termasuk manusia yang beriman dan tidak beriman. Buktinya ALLAH memberikan nikmat kepada semua makhlukNya di muka bumi ini.
“Sebagai seorang yang beriman kepada ALLAH yang bersifat ar-Rahman, bagaimanakah cara anda menyuburkan sifat pemurah dalam kalangan rakan sebaya di sekolah?” tuturnya kepada Sinar Bestari.
Ulasnya, apabila pelajar membaca soalan ini, sudah tentu ia akan membuatkan mereka keliru untuk menulis jawapannya.
Jelasnya, kebanyakan pelajar akan memberikan jawapan yang tidak tepat seperti sebab ALLAH bersifat pemurah; kesan pemurah ALLAH dan hikmah bersifat pemurah terhadap diri sendiri.
Dengan jawapan ini, mereka pastinya akan kehilangan markah untuk soalan berkenaan.
Ustazah Norhana berkata, terdapat beberapa tip yang perlu difahami dan diikuti pelajar dalam memastikan jawapan diberikan menepati kehendak soalan.
“Dalam usaha membantu mereka, saya kongsikan di sini sebagai panduan dan rujukan semua pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga,” ujar beliau.
1) Jika soalan 'BAGAIMANAKAH', maka jawapannya berkaitan langkah atau cara.
Contoh soalan
ALLAH Maha Pemurah terhadap semua makhluk ciptaanNya termasuk manusia yang beriman dan tidak beriman. Buktinya ALLAH memberikan nikmat kepada semua makhlukNya di muka bumi ini. Sebagai seorang yang beriman kepada ALLAH yang bersifat ar-Rahman, bagaimanakah cara anda menyuburkan sifat pemurah dalam kalangan rakan sebaya anda di sekolah?
Contoh jawapan
Mengadakan tabung kebajikan agar dapat membantu rakan yang ditimpa musibah. Contohnya tabung khairat kematian. Kesimpulannya kita hendaklah membudayakan sifat pemurah dalam kalangan rakan di sekolah supaya kehidupan dirahmati ALLAH.
2) Jika soalan adalah 'MENGAPA', maka jawapannya berkaitan punca.
Contoh soalan
Al-Quran adalah kalamullah yang menjadi pembela manusia di akhirat. Berdasarkan pernyataan ini, huraikan mengapa masih ramai yang meragui ajaran al-Quran?
Contoh jawapan
Tidak takut dengan balasan ALLAH di akhirat menyebabkan mereka lebih mementingkan keseronokan dunia sehingga tiada masa untuk mengamalkan ajaran al-Quran. Kesannya mereka akan dimurkai ALLAH. Kesimpulannya, kita sebagai umat Islam hendaklah meyakini kebenaran ajaran al-Quran supaya hidup terpandu ke arah jalan yang benar.
3) Soalan ‘APA YANG AKAN BERLAKU’, maka jawapannya berkaitan kesan dan akibat.
Contoh soalan
Pengajaran ayat: Kita hendaklah sentiasa berzikir kepada ALLAH sepanjang masa agar hidup kita lebih tenang. Berdasarkan pernyataan ini, ramalkan bagaimana zikir dapat membentuk sahsiah keperibadian seorang Muslim.
Contoh jawapan
Zikir akan menjadi perisai daripada gangguan syaitan yang menghasut kita melakukan dosa dan maksiat. Kesannya diri akan terhindar daripada melakukan kemungkaran. Kesimpulannya, kita hendaklah sentiasa membasahi lidah dengan zikir supaya dilindungi ALLAH.
Akhir sekali, Ustazah Norhana menitipkan sedikit nasihat berkaitan peperiksaan bagi mata pelajaran berkenaan.
“Kepada para pelajar, ustazah sangat berharap agar anda dapat mengamalkan tip yang dikongsi ini. Mudah-mudahan semuanya berjaya dengan cemerlang,” ujarnya.