Kredit foto: Pexels
Kredit foto: Pexels

5 cara pemakanan sihat untuk pelajar amalkan sepanjang minggu peperiksaan

ROSHLAWATY MD RAIEH
15 Feb 2023 02:36pm
A
A
A

Musim peperiksaan kembali lagi. Ketika ini, calon-calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bertungkus lumus menjawab soalan di dewan peperiksaan.

Mungkin ramai dalam kalangan pelajar berdebar-debar ketika menjawab peperiksaan.

Tidak kurang juga ada yang seakan-akan ‘lupa sekejap’ segala fakta yang dihafal dek ketakutan melampau.

Senario sebegini adalah perkara biasa dihadapi calon peperiksaan. Bagaimanapun, anda dinasihatkan untuk kawal diri dan banyakkan berdoa sebelum melangkah ke dewan peperiksaan.

Dalam artikel kali ini, Sinar Bestari ingin berkongsi amalan pemakanan sihat yang harus diambil perhatian oleh semua calon peperiksaan.

Ini kerana pemakanan sihat dan teratur membantu pelajar menduduki peperiksaan dengan baik seterusnya menghilangkan segala perasaan negatif dalam diri.

Jom ikuti perkongsian Sinar Bestari seperti dipetik menerusi portal MyHEALTH Kementerian Kesihatan.

1) Ambil sarapan pagi

Artikel Berkaitan:

  • Sarapan merupakan makanan utama yang paling penting diambil setelah kita ‘berpuasa’ semalaman semasa tidur. Kajian menunjukkan kaitan yang positif antara pengambilan sarapan dengan prestasi pelajaran murid.
  • Pastikan sarapan yang diambil mengandungi sumber seperti karbohidrat, protein dan serat.
  • Elakkan mengambil sarapan yang padat tenaga iaitu tinggi kandungan kalori dan lemak seperti nasi lemak dan mi goreng.

2) Makan ikut waktu

  • Perkara penting yang sering diabaikan pelajar terutamanya yang ingin menduduki peperiksaan adalah makan mengikut waktu.
  • Disarankan mengambil tiga hidangan utama ini iaitu sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Melangkau salah satu waktu makan akan menyebabkan pelajar berasa lebih lapar pada waktu makan berikutnya. Ini akan menyebabkan kemungkinan kita makan lebih daripada keperluan. Tindakan ini akan menjejaskan prestasi pelajar semasa menduduki peperiksaan. Dalam jangka masa panjang, ia boleh meningkatkan risiko menjadi berlebihan berat badan atau gemuk.

3) Ambil buah dan sayur

  • Buah dan sayur merupakan sumber vitamin dan mineral yang baik untuk tubuh. Ia juga mengandungi antioksida yang tinggi dan sangat baik dalam mengelakkan pelbagai jenis penyakit.
  • Pastikan para pelajar mengambil buah dan sayur bagi setiap hidangan utama ataupun sebagai snek. Utamakan buah dan sayur yang beraneka warna.

4) Pilih snek yang sihat

  • Snek adalah makanan yang dimakan di antara waktu makan utama. Snek seperti keropok, kerepek atau jeruk sering menjadi teman setia pelajar ketika mengulang kaji pelajaran untuk menghadapi peperiksaan. Snek tersebut adalah snek yang kurang sihat kerana mengandungi garam, gula atau lemak yang tinggi.
  • Snek yang tidak sihat akan menyebabkan kita berasa kenyang dan seterusnya tidak mengambil hidangan utama yang lebih berkhasiat.
  • Justeru, anda dinasihatkan untuk mengambil snek sihat seperti buah-buahan, jagung rebus, yogurt / dadih, susu, dan sandwich.

5) Minum susu

  • Amalan meminum susu perlu diteruskan walaupun pelajar telah bersekolah. Susu merupakan satu hidangan yang hampir lengkap kerana mengandungi sumber penting untuk tumbesaran seperti protein, karbohidrat, vitamin B12, vitamin D, zink dan sumber kalsium.

Bagi pelajar yang berpuasa semasa peperiksaan pula, anda harus memastikan perkara berikut dipatuhi iaitu

a) Makan sahur

  • Bangun sahur sangat penting sekiranya pelajar ingin berpuasa. Pastikan makanan yang diambil mengandungi sumber karbohidrat, protein, serat dan perlu minum air kosong secukupnya!

b) Berbuka puasa

  • Sebaik-baiknya mulakan dengan mengambil buah kurma atau buah-buahan lain seperti pisang dan betik.
  • Kurangkan makanan yang terlalu berminyak, bergoreng dan makanan atau minuman yang manis kerana ini akan menyebabkan pelajar tidak ada selera untuk mengambil hidangan utama yang lain.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua. Selamat mencuba dan selamat maju jaya!

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok