Kredit foto: Pexels
Kredit foto: Pexels

5 tip mudah mengatasi rasa mengantuk

FIRDAUS HANAFI MOHD ZAINFIRDAUS HANAFI MOHD ZAIN
03 Feb 2023 03:06pm

Mengantuk adalah satu keadaan di mana seseorang itu merasa ingin tidur. Keadaan ini biasanya terjadi di waktu malam kerana badan manusia merasa penat setelah seharian melakukan tugasan harian.

Penting sebenarnya untuk manusia menjaga jadual waktu tidur bagi memastikan rasa mengantuk tidak mengganggu tugasan harian baik pelajar ataupun mereka yang sudah bekerja.

Untuk sesetengah individu, mereka mungkin merasakan sudah mendapatkan waktu tidur yang cukup namun masih berasa letih yang keterlaluan hingga menyebabkan timbulnya rasa mengantuk pada siang.

Lebih membahayakan jika rasa itu datang ketika memandu kereta atau menunggang motosikal yang pastinya membahayakan nyawa sendiri dan juga orang lain.

Hari ini, Sinar Bestari ingin kongsikan lima tip yang dikongsikan penulis artikel berkaitan kesihatan mental, Muhammad Wa’iz di portal kesihatan Hello Doktor, cara atasi rasa mengantuk.

Jom baca!

1) Tidur untuk satu jangka masa yang pendek

Sekiranya anda terlalu letih dan mengantuk pada hari tersebut, ambil sedikit waktu pada waktu rehat dan tidur sebentar sekitar 15 hingga 30 minit.

Artikel Berkaitan:

Cari tempat yang dirasakan sesuai sama ada di sekolah, universiti atau tempat kerja.

Badan anda akan merasa lebih segar selepas bangun dan rasa mengantuk akan berkurang.

2) Mendengar lagu

Ini mungkin lebih sesuai untuk ditujukan kepada golongan pekerja. Suasana tempat kerja ada yang terlalu sunyi mungkin menjadi satu daripada punca mengapa anda merasa mengantuk.

Anda boleh cuba mainkan lagu atau muzik dengan menggunakan telefon atau komputer anda.

Bagi mengelakkan gangguan terhadap orang lain, disarankan untuk menggunakan fon telinga ketika mendengar lagu.

3) Basuh muka dengan air sejuk

Jika rasa mengantuk itu terlalu mengganggu urusan harian anda ambil sedikit masa dan pergi ke tandas untuk mencuci muka.

Seeloknya anda digalakkan untuk membasuh muka menggunakan air sejuk dengan cara sapukan air di sekitar kawasan muka dan leher bagi memberikan kesegaran.

Anda juga boleh mencuba minum air sejuk bagi melawan rasa mengantuk itu.

4) Ambil minuman berkafein

Ini antara kaedah yang paling banyak menjadi pilihan orang ramai.

Untuk pengetahuan anda minuman berkafein mengandungi bahan perangsang yang meningkatkan aktiviti otak dan sistem saraf anda.

Ia juga meningkatkan kemampuan berfikir anda sekali gus melawan rasa mengantuk.

Antara minuman berkafein yang boleh anda cuba adalah kopi, teh atau coklat.

Namun anda dinasihatkan untuk tidak mengambil terlalu banyak produk minuman tersebut bagi menjaga kesihatan anda.

5) Bangun sebentar dari posisi duduk

Faktor anda berada dalam posisi duduk terlalu lama juga mampu menjadi punca untuk anda merasa mengantuk.

Cuba atasinya dengan melakukan tabiat ini berkali-kali setiap hari bagi membantu melancarkan aliran darah anda.

Perkara berkenaan akan sedikit sebanyak membantu mengelakkan anda daripada rasa mengantuk.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp