Cikgu Stefanus kongsi 7 tip mudah jadikan subjek Muzik menarik!
“Mereka juga perlu diberi perhatian sama seperti murid normal yang lain,” demikian kongsi Guru Muzik Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Tuaran, Sabah, Cikgu Stefanus Lucas ketika diminta mengulas mengenai Murid Berkeperluan Khas (MBK).
Menurut Cikgu Stefanus, MBK harus dibekalkan dengan ilmu pengetahuan yang bersesuaian dengan tahap pemikiran dan keperluan mereka.
“Umum mengetahui MBK ini mempunyai enam kategori iaitu kurang upaya pendengaran, kurang upaya penglihatan, kurang upaya pertuturan, kurang upaya fizikal, masalah pembelajaran dan pelbagai (multiple disabilities).
“Setiap kategori mempunyai tahap kemampuan murid-muridnya. Ini bermakna, seorang guru Pendidikan Khas perlu mengetahui kemampuan MBK ketika mendidik mereka di dalam kelas,” ujarnya kepada Sinar Bestari.
Berbicara tentang subjek Muzik, Cikgu Stefanus berkata, terdapat sebilangan besar MBK yang meminati mata pelajaran tersebut kerana ia subjek menyeronokkan dan terapi buat mereka.
Ia bertambah seronok sekiranya guru Pendidikan Khas bagi mata pelajaran Muzik mampu mengajar MBK dengan tip-tip tertentu.
Sambung Cikgu Stefanus, terdapat tujuh tip menarik yang ingin dikongsinya untuk kegunaan guru Pendidikan Khas mengajar muzik kepada MBK.
Koleksi tip yang dimaksudkan Cikgu Stefanus itu terdiri daripada
1) Kenal pasti murid secara individu
Kenal pasti latar belakang keluarga MBK, potensi, kebolehan dan kekangan murid secara peribadi. Selain itu, kenal pastikan juga kesukaran MBK dalam melakukan pergerakan atau sebarang aktiviti muzikal dan bagaimana cara anda (guru Pendidikan Khas) mengatasinya. Penting mengetahui dan mengenal pasti MBK secara menyeluruh bagi memastikan kelas dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
2) Bina hubungan erat dengan ibu bapa atau penjaga murid
Ibu bapa atau penjaga MBK tidak semestinya memiliki bakat atau latar belakang dalam bidang muzik. Cukup sekadar mampu memahami arahan yang disampaikan guru yang meminta murid melakukan aktiviti muzikal ketika berada di rumah.
3) Guna alatan atau bahan bantu mengajar yang senang didapati murid
Guna alatan seperti alat mainan yang dimiliki MBK untuk mengajar konsep muzik. Boleh juga sediakan alatan dapur untuk mengajar permainan alat muzik atau menggunakan bahan kitar semula bagi membina alat muzik buatan sendiri. Jangan membebankan keluarga murid dengan mewajibkan mencari keperluan bahan mengajar seperti yang kita inginkan.
4) Guna arahan dan bahasa paling mudah dan senang untuk difahami serta ulang arahan tersebut dengan kerap, terutamanya MBK kategori masalah pembelajaran.
Tidak digalakkan guna bahasa kiasan atau secara puitis ketika memberi arahan dalam melaksanakan aktiviti muzikal. Contoh arahan mudah untuk mengajar konsep bunyi kuat dan lembut
“Singa Aummmm (sambil membuat bunyi kuat), Kucing Meoww (sambil membuat bunyi lembut), sekarang nyanyi lagu ini seperti suara singa (nyanyi kuat), sekarang nyanyi lagu ini seperti suara kucing (nyanyi lembut).”
Sabar dan berulang-ulang memberi arahan atau ayat mudah yang ingin kita sampaikan. Contohnya untuk aktiviti bergerak mengikut muzik, “Angkat tangan, angkat tangan tinggi-tinggi, angkat tangan, angkat tangan seperti cikgu, angkat tangan, pandai anak murid cikgu.”
5) Pelbagaikan kaedah penyampaian ketika di kelas
Tujuan mempelbagaikan kaedah penyampaian adalah untuk menarik perhatian MBK mendengar arahan. Misalnya menggunakan kaedah penyampaian secara lakonan dengan melakonkan watak-watak disukai murid seperti watak kartun, binatang dan lain-lain.
Guru Pendidikan Khas juga boleh menggunakan patung ketika mengajar. Patung mempunyai pengaruh besar dalam menarik perhatian MBK ketika kelas berlangsung. Selain itu, kaedah penyampaian menggunakan permainan secara dalam talian seperti Wordwall dan Quizizz boleh dicuba oleh para guru.
6) Jangan malu melayan dengan cara atau berkelakuan seperti mereka, lebih-lebih lagi sekiranya ada ibu bapa atau ahli keluarga lain ketika sesi kelas diadakan. Sekiranya cikgu perlu menjerit, menjeritlah. Sekiranya perlu membuat bunyi menangis, buatlah dan jika perlu melakukan pergerakan bersama dengan patung atau objek lain, lakukanlah tanpa perlu merasa malu.
7) Make it simple and nice
Jika ada dalam kalangan guru Pendidikan Khas yang mengadakan kelas dalam talian, dinasihatkan tidak mengambil masa terlalu lama. Ini kerana kelas yang panjang boleh menyebabkan MBK bosan, gelisah dan tidak selesa. Jika boleh selitkan beberapa aktiviti menarik sepanjang kelas berlangsung bagi menarik perhatian MBK untuk terus belajar.