Di sebalik perubahan nama Turki kepada Turkiye
Sejak Februari lalu, Turkiye menjadi bualan ramai apabila berlakunya tragedi gempa bumi yang terburuk dalam tempoh 84 tahun.
Gempa bumi tersebut telah meranapkan puluhan bangunan di beberapa buah bandar dan turut menyebabkan kerosakan teruk di negara jiran, Syria.
Sinar Bestari mengucapkan takziah dan simpati kepada mangsa dan keluarga masing-masing serta berharap mereka kekal tabah dalam mengharungi kehidupan akan datang.
Berkongsi tentang tularnya nama Turkiye pada masa kini, Sinar Bestari difahamkan terdapat beberapa perkara hangat diperkatakan mengenai ejaan dan sebutan nama Turki (nama asal) kepada Turkiye.
Mesti ramai yang tertanya-tanya, mengapakah ia bertukar dan apa sebabnya?
Menurut laporan sebuah portal tempatan, sejarah penukaran nama Turki kepada Turkiye secara rasminya telah diumumkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jun 2022 setelah Menteri Luarnya pada waktu itu, Mevlut Cavusogla mewakili Presiden, Reccep Tayyip Erdogan dan mengemukakan permintaan rasmi untuk menukar nama negara sejak tahun 2021 lagi.
Kata Cavusogla, ejaan Turkiye yang disebut sebagai ‘Tur-key-yay’ itu mewakili dan menggambarkan budaya, tamadun dan nilai rakyat negara Turki.
Malah, ia juga mempunyai nama panjang iaitu Turkiye Cumhuriyeti atau Republik Turkiye.
Sambung Cavusogla lagi, perubahan ejaan tersebut turut disebabkan rasa kurang senang Presidennya dengan masyarakat antarabangsa yang selalu menyamakan Turki dengan menu tradisional ‘ayam belanda’ atau ‘Turkey’ yang disajikan semasa sambutan Thanksgiving, Hari Natal dan Tahun Baharu.
Setelah melalui beberapa proses, Turkiye akhirnya menerima berita baik dari PBB yang telah memberi ‘lampu hijau’ berkaitan penukaran nama itu.
Justeru, Turkiye segera melakukan perubahan terhadap ejaan dan melancarkan kempen penjenamaan semula untuk nama negara mereka.
Untuk pengetahuan bersama, penukaran ejaan dan sebutan nama sebuah negara bukanlah sesuatu yang baharu dalam sejarah tamadun moden dunia.
Selain Turkiye, terdapat beberapa buah negara lain yang pernah menukar nama negara mereka seperti Thailand (Siam); Iran (Persia); Zimbabwe (Rhodesia) dan Macedonia Utara (Macedonia).