Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi pembentangan belanjawan di Parlimen baru-baru ini. Kredit foto: Facebook Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi pembentangan belanjawan di Parlimen baru-baru ini. Kredit foto: Facebook Anwar Ibrahim.

Fahami kepentingan belanjawan kepada rakyat

FIRDAUS HANAFI MOHD ZAINFIRDAUS HANAFI MOHD ZAIN
25 Feb 2023 09:31pm

Pembentangan belanjawan merujuk kepada proses di mana kerajaan mengumumkan rancangan penggunaan dana awam untuk satu tahun fiskal yang akan datang.

Ketika sesi pembentangan, kerajaan akan mengumumkan perbelanjaan untuk sektor-sektor penting seperti pendidikan, kesihatan, pembangunan infrastruktur, ekonomi dan sektor-sektor lain.

Sesi pembentangan ini penting kepada rakyat kerana kerana ia memberikan gambaran umum mengenai hala tuju dasar dan perbelanjaan kerajaan dalam jangka masa yang akan datang.

Pembentangan belanjawan untuk tahun ini telah dibentangkan oleh Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen baru-baru ini.

Untuk itu, Sinar Bestari ingin kongsikan kepada pembaca antara kepentingan pembentangan tersebut kepada rakyat.

Jom baca!

1) Memberi panduan kepada kerajaan

Belanjawan memberikan gambaran keseluruhan mengenai pendapatan dan perbelanjaan kerajaan, termasuk kewangan negara.

Artikel Berkaitan:

Ia memberikan kerajaan satu pandangan yang lebih jelas tentang keadaan ekonomi negara dan membolehkan mereka merancang program dan projek yang bersesuaian dengan keadaan semasa demi kebaikan rakyat serta pembangunan kemajuan negara.

2) Menjana pertumbuhan ekonomi

Belanjawan akan membantu menggerakkan ekonomi negara dengan meningkatkan penggunaan dana awam untuk membiayai projek-projek pembangunan infrastruktur.

Ini secara langsung akan membuka peluang pekerjaan baharu kepada rakyat sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka.

3) Meningkatkan kesejahteraan sosial

Belanjawan menyediakan peruntukan kepada kerajaan untuk menyediakan kemudahan-kemudahan asas kepada rakyat seperti perumahan, pendidikan, kesihatan dan lain-lain.

Ini akan membantu meningkatkan taraf hidup rakyat serta mendorong kepada kesejahteraan sosial.

4) Meningkatkan keberkesanan sistem kesihatan

Belanjawan juga membantu menentukan jumlah dana yang diperuntukkan kepada sektor kesihatan untuk pembangunan, penyelidikan dan penyediaan perkhidmatan kesihatan.

Peruntukan dana yang mencukupi adalah penting untuk memastikan pembangunan sektor kesihatan dapat dilaksanakan dengan baik dan memberi manfaat kepada rakyat.

Selain itu, ia juga penting bagi memberikan peruntukan kepada pembangunan infrastruktur kesihatan seperti pembinaan dan menambah baik hospital, klinik dan fasiliti kesihatan lain.

Pembangunan infrastruktur yang baik adalah satu keperluan demi memastikan rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan berkesan.

5) Menambah baik sektor pendidikan

Dengan peruntukan bajet yang mencukupi, kerajaan dapat menyediakan peralatan dan kemudahan pendidikan yang lebih baik kepada institusi pendidikan sama ada sekolah atau institut pengajian tinggi (IPT).

Ini akan membantu meningkatkan kualiti pendidikan dan memastikan rakyat negara ini mempunyai akses kepada pendidikan yang berkualiti.

Selain itu, bajet yang disalurkan menerusi belanjawan itu dapat membantu meningkatkan kemahiran dan kebolehan tenaga pendidik melalui penyediaan latihan dan kemudahan-kemudahan lain.

5) Membela nasib kumpulan B40

Pembentangan belanjawan yang jelas dan telus dapat meningkatkan kepercayaan masyarakat kepada kerajaan dan memperlihatkan bahawa kerajaan mempunyai inisiatif dalam memajukan kesejahteraan serta membela nasib rakyat terutamanya golongan yang memerlukan bantuan seperti kumpulan B40.

Selain itu pembentangan tersebut juga membolehkan masyarakat B40 mengetahui tentang program dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan untuk mereka.

Melalui program yang disediakan itu mereka boleh memanfaatkan peluang yang ada bagi meningkatkan taraf hidup serta mencapai kejayaan dalam kehidupan.

Program dan bantuan yang disediakan melalui bajet belanjawan itu juga mempunyai peranan besar dalam usaha kerajaan mengurangkan jurang sosial antara kumpulan masyarakat yang berbeza dalam negara ini.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp