Pelajar wajib guna 5 teknik ini ketika pembentangan di sekolah
Pembentangan merupakan satu perkumpulan maklumat yang diterangkan kepada orang ramai menerusi perkongsian dalam bentuk slaid dan juga kaedah lain.
Bagi para pelajar terutama mereka yang berada di sekolah menengah, tugasan sebegini sudah menjadi satu keperluan bagi setiap mata pelajaran yang diajar di sekolah.
Ketika pembentangan berlangsung, pastinya pelbagai ragam dapat dilihat. Ada yang tergagap-gagap, darah gemuruh, terlalu santai dan sebagainya.
Bagi menangani situasi sedemikian, Sinar Bestari tampil membantu dengan menggariskan beberapa teknik untuk pelajar tidak kekok ketika berada di khalayak ramai.
Lima teknik boleh pelajar rujuk sebagai panduan untuk membentangkan tugasan nanti.
Jom lihat teknik-teknik yang dimaksudkan itu.
1) Peta minda
Menghasilkan peta minda sangat penting dalam meningkatkan keyakinan penyampai ketika pembentangan dilakukan. Cara ini dapat menghilangkan kebimbangan jika terlupa sesuatu fakta.
2) Hasilkan bahan bantu visual yang menarik
Jika pembentangan mengambil masa lama, ia pastinya membuatkan khalayak bosan. Jadi, salah satu cara untuk mengelakkannya adalah menghasilkan bahan visual yang menarik. Sebagai contoh, menghasilkan poster infografik, carta dan video yang cantik akan membuatkan rakan-rakan sekelas setia mendengar sehingga akhir.
3) Masukkan isi penting
Sediakan isi yang betul-betul penting dan yang menyokong topik pembentangan. Sesuatu yang ringkas itu sebenarnya lebih menarik kerana semua orang mahukan perkara yang mudah untuk difahami.
4) Bercakap ikut keselesaan
Selain terlalu banyak isi, bercakap terlalu pantas juga boleh dianggap sebagai kesalahan yang sering dilakukan pelajar. Salah satu cara yang boleh dibuat untuk mengatasi perkara ini adalah melatih corak pernafasan membuat anda kekal tenang.
5) Banyakan berlatih sebelum pembentangan sebenar
Tip yang terbaik adalah meluangkan masa membuat latihan sebelum pembentangan sebenar. Anda boleh meminta rakan-rakan menjadi audien dalam pembentangan olok-olok. Langkah ini patut diamalkan pelajar agar mereka tidak lagi gemuruh apabila melakukan aktiviti itu.