Pelihara kucing dapat membantu mengurangkan tekanan emosi dan mental
Pelihara kucing dapat membantu mengurangkan tekanan emosi dan mental

Pelihara kucing demi kesihatan mental dan emosi

Memelihara haiwan di rumah bukan sahaja dapat membantu mengurangkan tekanan tetapi turut dipercayai memberi banyak manfaat untuk kesihatan

01 Feb 2023 10:22am
A
A
A

Kucing boleh bantu kurangkan tekanan yang dihadapi oleh pelajar di sekolah

Memelihara haiwan di rumah bukan sahaja dapat membantu mengurangkan tekanan tetapi turut dipercayai memberi banyak manfaat untuk kesihatan fizikal dan mental.

Mana tidaknya, hari ini semakin ramai mengambil peluang membela haiwan terutamanya kucing yang menjadi pilihan utama.

Bahkan ada sesetengah berpendapat membela kucing akan membantu mengembalikan kesegaran minda dan fikiran lebih-lebih lagi kepada pelajar yang sedikit sebanyak berdepan dengan tekanan di sekolah.

Kali ini Sinar Bestari kongsikan pengalaman dua pelajar sekolah menengah yang mempunyai haiwan kesayangan di rumah sebagai teman bermain pada waktu lapang.

Muhammad Rasydan Razi Mohd Tahir

Muhammad Rasydan bersama kucing peliharaan diberi nama Sara
Muhammad Rasydan bersama kucing peliharaan diberi nama Sara

Artikel Berkaitan:

Muhammad Rasydan yang merupakan pelajar Tingkatan Lima, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Changgang, Selangor, seronok apabila bercerita tentang pengalamannya membela dua ekor kucing kesayangan keluarga yang diberi nama Sara dan Leman.

Katanya, Sara diambil dan dijaga selepas dia menjumpainya di belakang rumah nenek ketika negara berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2021.

Lebih menyedihkan Sara ketika itu baru sahaja kehilangan ibunya dan itu membuatkan Muhammad Rasydan memilih untuk membawanya pulang ke rumah dan terus membela sehingga hari ini.

Sementara, kucing jantan yang digelar Leman pula diselamatkan ketika haiwan itu tersangkut di atas pokok.

Muhammad Rasydan memberitahu, telatah comel dan mencuit hati kucing-kucingnya itu sentiasa menghiburkan hati lebih-lebih lagi ketika dia bermain dengan mereka.

Tambahnya, kucing-kucing itu terutamanya Sara sangat suka apabila dibelai dan diusap di bahagian perut.

Malah Sara dan Leman juga seakan memahami untuk tidak menganggu Muhammad Rasydan ketika dia sedang mengulang kaji pelajaran atau menyiapkan kerja sekolah.

“Ada sesetengah kucing nakal akan menganggu ketika kita membuat kerja dengan mengusik pen seakan mengajak tuannya untuk bermain.

“Tetapi tidak bagi Sara dan Leman kerana kedua-duanya seakan memahami apabila saya sedang ‘bekerja’ dan hanya akan duduk diam di sebelah sehingga tertidur,” ujarnya kepada Sinar Bestari, baru-baru ini.

Bentuk disiplin dan tanggungjawab

Anak bongsu daripada empat beradik itu memaklumkan, walaupun menjaga dua kucing tersebut mendapat kerjasama daripada semua ahli keluarga, namun ia bukan alasan untuknya mengabaikan penjagaan mereka.

Sebelum ke sekolah, Muhammad Rasydan akan meletakkan makanan dan mengisi air di dalam bekas yang disediakan untuk kucing-kucing kesayangannya itu.

Ujarnya lebih lanjut, dia turut memandikan dua kucingnya itu seminggu sekali untuk menjaga kebersihan bulu sekali gus kesihatan mereka.

Perkara ini diibaratkan satu latihan buat Muhammad Rasydan untuk diri menjadi lebih berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap haiwan peliharaan berkenaan.

Nur Ain Najah Mohammed Feizal

Bagi pelajar Tingkatan Empat SMK Seri Indah, Selangor, Nur Ain, dia membela kucing di rumahnya sebagai teman bermain dan penghibur.

Nur Ain Najah
Nur Ain Najah

Dia berkata, pada mulanya kucing tersebut pemberian daripada rakannya yang tidak dapat menjaga haiwan itu.

Namun siapa sangka, saban hari kucing yang diberi nama Gappy itu semakin jinak dan manja dengan setiap ahli keluarga Nur Ain.

Kurangkan tekanan belajar

Ujar Nur Ain, Gappy sentiasa menunggu dia pulang dari sekolah setiap hari dan telatah comel serta lucu haiwan tersebut sentiasa membuat pelajar ini berasa tenang.

Malah, anak bongsu daripada dua beradik itu memberitahu, Gappy juga sentiasa menggesel di kakinya sebelum dia ke sekolah seolah-olah ingin mengucapkan selamat tinggal.

Tambahnya, perkara itu membuatkan harinya sentiasa ceria dan ia sedikit sebanyak mengurangkan tekanan yang dihadapinya.

Tip penjagaan kucing

Pastikan beri makanan yang sesuai

Penjaga kucing hendaklah ketahui keperluan serta keadaan kesihatan haiwan peliharaan masing-masing sebelum memberi makan. Ini adalah untuk memastikan kesihatan haiwan itu tidak terjejas.

Berjumpa dengan doktor haiwan

Sekiranya kucing dijangkiti penyakit seperti kutu, segera rujuk dengan doktor haiwan bagi mengelakkan jangkitan kepada manusia selain dapatkan vaksin untuk mereka.

Jadikan kawan

Kucing juga perlu berinteraksi dan bermain dengan tuannya. Oleh itu, gunakan waktu lapang untuk bermain dan membelai kerana kucing yang diberi kasih sayang akan setia pada tuannya.

Pemandulan

Kucing betina akan sering melahirkan anak secara tidak terkawal jika tidak dimandulkan dan ia akan mendorong kepada pengabaian anak-anak kucing yang akan mati kebuluran.

Sediakan tempat mencakar

Kucing amat sinonim dengan sifatnya yang suka mencakar. Oleh itu, sediakan tempat mencakar yang sesuai untuk mereka bagi mengelakkan sofa menjadi ‘mangsa’.

Sediakan mainan

Kucing adalah haiwan yang gemar bermain. Penyediaan mainan kepada mereka akan menbuatkan kucing anda gembira dan aktif serta tidak bosan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok