Penyampai radio perlu berilmu pengetahuan
Radin tegaskan bakat sahaja tidak mencukupi untuk menjadi penyampai radio
Setiap kehidupan di dunia perlu dimulakan dengan ilmu bagi melahirkan ramai insan yang berguna dalam usaha meningkatkan martabat diri serta keluarga.
Walaupun masih ramai yang beranggapan menuntut ilmu sehingga ke menara gading tidak menjanjikan kejayaan namun ia adalah tanggungjawab setiap mereka bergelar pelajar untuk terus mencari ilmu.
Bagi penyampai radio Era FM, Radin Amir Affendy Ahmad Aruani atau lebih dikenali sebagai Radin Era, setiap hari merupakan perjalanan mempelajari ilmu baharu dalam bidang itu meskipun sudah berkhidmat sembilan tahun dalam bidang penyiaran.
Kata Radin, kerjaya sebagai penyampai radio bukan sahaja memerlukan bakat malah turut mengutamakan pengetahuan memandangkan mereka juga bertindak sebagai penyampai maklumat kepada pendengar.
Tambahnya, seseorang yang berilmu juga berupaya menghasilkan gaya tersendiri serta keunikan yang mampu menarik minat terutamanya dalam kalangan pendengar.
Tidak pernah terlintas menjadi penyampai radioBercerita tentang permulaan kerjaya sebagai penyampai radio, Radin memberitahu, dia tidak mempunyai pendidikan asas dalam bidang komunikasi penyiaran.
Ini kerana dia merupakan alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam jurusan pemasaran dan bekerja dalam bidang yang sama sebelum menjadi penyampai radio.
“Pada awalnya, saya bercita-cita menjadi pereka dalaman kerana minat yang mendalam dengan kerja-kerja dekorasi rumah.
“Sebagai bekas pelajar jurusan pemasaran juga saya telah diterima bekerja sebagai Eksekutif Pemasaran Majalah Maskulin di Sinar Karangkraf dan telah berkhidmat di sana selama setahun.
“Namun dalam masa yang sama saya turut menghadiri pelbagai kelas lakonan dan pengacaraan bagi membina keyakinan diri untuk berani tampil ke depan terutamanya di hadapan kamera,” ujarnya ketika ditemui di konti Era, Bukit Jalil, baru-baru ini.
Perjalanan sebelum bergelar penyampai radio
Sebelum terlibat dalam industri radio, Radin telah mencuba nasib dengan menyertai uji bakat pencarian pengacara Karpet Merah Anugerah Skrin TV3 pada 2012 tetapi tidak berjaya.
Dia sekali lagi mencuba nasib pada tahun seterusnya namun masih lagi belum terpilih untuk menjadi pengacara majlis berkenaan.
“Meskipun dua kali gagal dalam uji bakat tersebut, ia sama sekali tidak mengganggu emosi saya untuk terus mencuba nasib.
“Selepas itu sekali lagi saya cuba menyertai uji bakat pencarian penyampai radio Era pada 2014 dengan memuat naik rakaman video di media sosial Instagram.
“Alhamdulillah, dengan rakaman video berkenaan saya telah terpilih untuk menjadi penyampai radio di stesen penyiaran ini dan ia adalah satu pengalaman yang bermakna sepanjang hidup saya,” ujarnya.
Bagaimanapun, Radin turut menjelaskan tiada spesifik kriteria untuk menjadi seorang penyampai radio.
Bagi mereka yang tidak berlatarbelakangkan penyiaran juga mampu membina kerjaya dalam bidang berkenaan asalkan mempunyai kelebihan dan keunikan terutamanya ketika melontarkan suara.
Namun begitu, dia tetap menegaskan kepentingan menyambung pengajian biarpun mereka boleh menonjolkan bakat terpendam dengan hanya menggunakan media sosial.
“Golongan pelajar perlu mengubah persepsi pendidikan adalah perkara sia-sia dan tidak menjamin kerjaya.
“Ini kerana terdapat pelbagai manfaat yang bakal diperoleh sekiranya seseorang itu berilmu pengetahuan apatah lagi dia mengaplikasikannya dalam kehdupan,” jelasnya. Pencapaian Radin EraTercalon empat kali dalam kategori Penyampai Radio Meletop (Anugerah Meletop Era)
Tercalon empat kali dalam kategori Penyampai Radio Terbaik Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH)
Penerima Anugerah Penyampai Radio Popular (ABPBH 2017)
Pernah menemu bual artis luar negara seperti Lee Min Ho, Afgan, Kris Dayanti dan Bunga Citra Lestari.
Pengacara konsert artis terkenal Indonesia seperti Shiela on 7, Tulus dan Cakra Khan.