Rathimalar bekerja bebas sebagai tenaga pengajar, penari, koreografer dan rakan usaha sama artistik tempatan serta antarabangsa.
Rathimalar bekerja bebas sebagai tenaga pengajar, penari, koreografer dan rakan usaha sama artistik tempatan serta antarabangsa.

Rathimalar penari kelas dunia

Sumbang pengalaman melalui pendidikan

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAMNADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
08 Feb 2023 02:21pm

Pemilik nama Rathimalar Govindarajoo merupakan antara perintis seni persembahan di negara ini dan luar negara.

Anak didik Datuk Ramli Ibrahim itu pernah menjadi penari sepenuh masa Shobana Jeyasingh Dance (SJDC) yang berpangkalan di London, United Kingdom (UK) bermula 2001 hingga 2006.

Sekembalinya dari luar negara, penerima anugerah 13th Debaprasad Prativi Award Orissa India itu menabur bakti sebagai pakar tari pendidikan di beberapa institut pengajian tinggi swasta.

Rathimalar yang bernaung di bawah Sutra Foundation Sutra Dance Theatre lebih 30 tahun berkata, beliau bangga kerana masih dapat meneruskan bidang seni persembahan malah berpeluang menyumbang kepada industri seni melalui bidang pendidikan.

“Saya pernah terlibat sebagai pakar tari pendidikan program Artis di Sekolah CENDANA pada tahun 2019 untuk memberi pendedahan serta pemahaman mengenai seni budaya negara ini dalam kalangan murid sekolah rendah.

“Bahkan, sehingga hari ini, saya masih menjadi tenaga pengajar sekolah swasta antarabangsa di ibu negara juga pekerja bebas sebagai penari, koreografer dan rakan usaha sama artistik tempatan serta antarabangsa,” tutur ahli MyDance Alliance Malaysia itu lagi.

Rathimalar merupakan penerima anugerah Great Women of Our Time Awards Malaysian Women’s Weekly Magazine 2011.
Rathimalar merupakan penerima anugerah Great Women of Our Time Awards Malaysian Women’s Weekly Magazine 2011.

Artikel Berkaitan:

Penerima anugerah Great Women of Our Time Awards Malaysian Women’s Weekly Magazine 2011 itu memberitahu, terdapat beberapa perkara asas untuk menjadi penari yang baik termasuk postur badan, penjajaran, imbangan badan, koordinasi, kawalan, fleksibiliti, mobiliti, kekuatan, stamina dan beberapa lagi.

Beliau yang merupakan juri di Kakiseni bagi kategori tarian BOH Cameronian Awards menambah, bidang berkenaan turut memerlukan kemahiran teknikal, ekspresif dan mental.

Minggu ini Rathimalar berkongsi tiga kemahiran penting dalam seni tari bersama pembaca Sinar Bestari.

1 Teknikal

Teknikal tarian dapat membentuk asas untuk membangunkan dan meningkatkan prestasi setiap individu.

Antara kemahiran teknikal termasuk action content yang merangkumi pergerakan, pusingan, gerak isyarat, penggunaan pelbagai bahagian anggota badan, pergerakan atas lantai (floorwork) dan pemindahan berat badan manakala dynamic content pula cara pergerakan mereka.

Selain itu, para penari perlu menguasai spatial content yang merupakan arah pergerakan penari dan relationship content iaitu cara penari bergerak bersama penari lain.

2 Ekspresif

Kemahiran ini merupakan antara elemen penting dalam seni tari. Penari memerlukan kebolehan seni dan kreativiti untuk meluahkan idea melalui pergerakan.

Ia akan melontarkan 'tenaga' sekali gus diterjemahkan sebagai penghubung untuk menarik perhatian penonton.

Melalui penggunaan mata dan ruang sekeliling serta ekspresi muka, para penari dapat menunjukkan mood, perasaan atau perwatakan di atas pentas dengan berkesan.

3 Mental (ketika persembahan)

Apabila terlibat dalam seni tari, mereka perlu memiliki keupayaan mengingati segala pergerakan.

Selain itu, para penari perlu memiliki keyakinan diri, fokus dan komitmen tinggi bagi memastikan setiap susun atur langkah tarian dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp