4 perkara asas yang perlu diketahui sebelum memohon profesion keguruan
Dalam kepelbagaian bidang dan cabang kerjaya profesional yang ada, profesion sebagai guru tetap menjadi pilihan ramai kerana ia dianggap sebagai kerjaya mulia dan perlu diteruskan untuk generasi akan datang.
Seperti kata Ketua Program, Pengurusan dengan Pelancongan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Khairunneezam Mohd Noor, guru merupakan insan yang sangat mulia, bahkan dimuliakan di sisi agama Islam.
Sesiapa yang memuliakan guru bererti ia memuliakan Rasulullah SAW, sesiapa yang memuliakan Rasulullah SAW bererti memuliakan ALLAH SWT dan sesiapa memuliakan ALLAH, maka syurgalah tempat kediamannya di akhirat kelak.
Sebenarnya, menjadi cikgu itu bukan tugas mudah kerana ia menuntut kecekalan dan semangat mendidik yang tinggi.
Cikgu merupakan orang yang paling bertanggungjawab selepas ibu bapa dalam memberi didikan, pedoman dan bimbingan terhadap anak-anak bangsa.
“Daripada semudah mengajarkan konsep mengeja, menulis dan mengira sehinggalah kepada formula saintifik dan teks kesusasteraan, para guru tidak jemu menabur bakti tanpa mengira penat dan lelah,” ujar Khairunneezam seperti dipetik dalam portal tempatan.
Memandangkan kerjaya guru makin disukai ramai, Sinar Bestari terpanggil untuk berkongsi empat perkara asas sebelum anda bergelar cikgu.
Berikut perkara asas yang dimaksudkan hasil perkongsian sebahagian guru di negara ini.
1) Tugas asas
Seorang guru harus melakukan pelbagai kerja sebelum dan selepas mengajar. Di antara tugas-tugasnya adalah;
• Merancang pelajaran
• Menyiapkan aktiviti
• Menggred kertas dan peperiksaan
• Menyiapkan kelas
• Menghadiri mesyuarat sekolah
• Mengadakan persidangan ibu bapa dan guru
• Menghadiri dan memimpin pelbagai aktiviti
• Memperkembangkan kemahiran seterusnya membimbing para pelajar
2) Kelebihan
Terdapat beberapa kelebihan utama untuk menjadi seorang guru. Pertama adalah gaji kukuh yang tidak mudah terdedah kepada perubahan dalam pasaran kerja dan ekonomi.
Guru juga mempunyai faedah seperti insurans kesihatan dan akaun persaraan. Cuti hujung minggu dan cuti tahap tertentu menjadikan beberapa kelebihan gaya hidup bagi kerjaya seorang guru.
3) Sekolah awam
Kelebihan dan kekurangan kerjaya sebagai guru berbeza dengan jenis sekolah di mana anda bekerja.
Misalnya, kelebihan sekolah awam sering merangkumi gaji yang lebih tinggi, populasi pelajar yang pelbagai dan keselamatan pekerjaan (terutamanya dengan tempoh pekerjaan).
4) Sekolah swasta
Sekolah swasta diketahui menggaji guru berdasarkan kemampuan sekolah berkenaan.
Walaupun melangkau pensijilan dan pengajaran di sekolah swasta, ia mungkin merupakan pilihan yang menarik bagi sesetengah individu walaupun skala gaji umumnya lebih rendah.
Bagaimanapun, mengajar di sekolah swasta membolehkan anda menimba pengalaman sebelum membuat keputusan kerjaya jangka panjang.
Selain itu, anda mempunyai kemampuan untuk bekerja sambil memperoleh sijil perguruan.
Setelah diperakui, belia boleh memilih untuk bekerja di sekolah awam yang akan memberi gaji yang lebih tinggi.