Masyarakat khususnya guru dan ibu bapa digalakkan memeriksa peralatan sebelum menggunakannya.
Masyarakat khususnya guru dan ibu bapa digalakkan memeriksa peralatan sebelum menggunakannya.

5 tip elak litar pintas di rumah, guru dan ibu bapa wajib ambil tahu

ROSHLAWATY MD RAIEH
02 May 2023 05:51pm
A
A
A

Amalan berkumpul dan menziarahi tetamu sememangnya menjadi tradisi dan kewajipan setiap kali tibanya musim perayaan.

Ini kerana amalan sebegini mampu membentuk satu ikatan kasih sayang yang dapat mengeratkan sesama insan sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain.

Bagaimanapun, dalam kita menikmati kemeriahan Aidilfitri bersama kaum keluarga, sahabat handai dan rakan-rakan, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat terutamanya guru dan ibu bapa serta penjaga.

Perkara yang dimaksud adalah aspek keselamatan elektrik terutamanya berkaitan litar pintas di rumah.

Menurut Pensyarah, Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan, UPM, Profesor Ir Dr Mohd Zainal Abidin Ab Kadir, terdapat pelbagai langkah yang boleh diambil untuk mengelak daripada berlakunya litar pintas di rumah dan kekal selamat serta sihat.

“Berikut saya kongsikan lima langkah pencegahan terbaik yang boleh anda ambil untuk dijadikan panduan. Semoga bermanfaat,” ujarnya.

Jom ikuti lima langkah hasil perkongsian Mohd Zainal Abidin ini.

1) Periksa soket sebelum menggunakannya

Artikel Berkaitan:

Adakah anda tahu di belakang semua soket di rumah terdapat kotak dengan berbilang wayar yang dipasang? Beberapa punca litar pintas yang paling biasa dikaitkan dengan soket ini, berpunca daripada usia, sambungan wayar yang longgar atau pendawaian yang rosak. Walaupun mungkin sukar untuk mengenali isu ini disebabkan ia tersembunyi di sebalik dinding, namun anda boleh memeriksa soket sebelum menggunakannya kerana ia mampu memberikan impak yang besar.

Semasa memeriksa soket, terdapat beberapa perkara tertentu yang anda boleh cari untuk mengetahui sama ada ia mungkin berisiko menyebabkan litar pintas. Jika guru dan ibu bapa menyedari terdapat kesan melecur pada soket atau terdapat bau terbakar datang daripadanya ini mungkin cukup untuk menunjukkan soket tersebut mempunyai masalah.

Selain itu, jika ia mengeluarkan bunyi berdengung, meletus atau mengeluarkan percikan api apabila digunakan anda harus mengelak daripada terus menggunakannya kerana tanda ini juga menunjukkan potensi risiko.

2) Periksa peralatan sebelum menggunakannya

Adalah penting untuk memeriksa peralatan sebelum memasangnya kepada soket. Apabila perkakas mempunyai pendawaian atau litar yang rosak, ini juga boleh menyebabkan litar pintas. Walaupun tiada masalah dengan soket, pemasangan perkakas yang rosak boleh merosakkan soket tersebut dan lebih teruk lagi akan menyebabkan litar pintas.

Terdapat beberapa tanda utama kerosakan peralatan elektrik. Jika anda melihat kerosakan pada kabel, sarung (casing) atau terdapat retakan pada peralatan tersebut sebaiknya jangan gunakan.

Guru dan ibu bapa serta penjaga harus berhati-hati dengan peralatan yang memiliki litar yang terdedah dan sebaiknya membuang peralatan tersebut atau memperbaikinya secara profesional.

3) Kurangkan penggunaan elektrik semasa ribut petir

Percaya atau tidak, sambaran petir satu lagi cara yang boleh menyebabkan litar pintas. Malah, ini adalah salah satu senario litar pintas yang paling berbahaya kerana arus dan voltan yang tinggi boleh menyebabkan beberapa kerosakan serius.

Negara ini sememangnya mempunyai kadar panahan petir antara yang tertinggi di dunia. Atas sebab ini, penggunaan elektrik pada tahap minimum semasa ribut petir adalah idea baik yang dicadangkan. Ini akan membantu mengelakkan litar pintas di samping mengehadkan kerosakan sekiranya lonjakan kuasa berlaku.

4) Lakukan penyelenggaraan pada pemutus litar

Setiap sistem elektrik rumah mempunyai perlindungan tetap kepada litar pintas yang dikenali sebagai pemutus litar.

Pemutus litar ialah komponen dalam panel elektrik yang dimatikan apabila arus elektrik tidak stabil.

Penyelenggaraan kerap akan memastikan kefungsian yang berpanjangan bagi pemutus litar tersebut.

Guru dan ibu bapa boleh melakukannya sendiri dengan memeriksa sebarang kerosakan seperti keretakan atau pemasangan yang longgar. Anda juga boleh menggunakan kain kering untuk membersihkan kotoran atau kesan lain yang terdapat pada pemutus litar dan panel bagi memastikan ia sentiasa bersih.

5) Jadualkan pemeriksaan elektrik tahunan

Pemeriksaan elektrik tahunan mampu mengurangkan risiko litar pintas. Semasa pemeriksaan, orang kompeten boleh memeriksa sepenuhnya sistem untuk mengenal pasti isu yang mungkin menimbulkan potensi risiko untuk litar pintas dan masalah elektrik yang lain.

Selepas mengenal pasti risiko sedemikian, orang kompeten boleh menawarkan khidmat nasihat untuk tindakan terbaik bagi membetulkan sebarang isu yang wujud sekali gus memastikan rumah masing-masing dapat didiami dengan selamat.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok