5 tip sambung belajar jurusan Perakaunan
Dalam debaran meniti hari-hari terakhir menjelangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ramai pelajar tertanya-tanya apakah mereka berpeluang memiliki kerjaya idaman keputusan peperiksaan itu nanti tidak seperti yang diharapkan.
Timbalan Pengerusi Young Members Network ACCA, Megat Solleh berkongsi bagaimana subjek yang memeningkannya suatu ketika dulu, kini melakar laluan kejayaan dalam dunia perakaunan.
“Pada waktu ini, satu-satunya perkara yang ada dalam minda calon SPM adalah peperiksaan itu sendiri.
“Saya masih ingat lagi perasaan dan suasana sebelum menduduki peperiksaan. Walaupun dulu saya belajar di sekolah berasrama penuh tetapi bukanlah pelajar yang bagus.
"Saya sebenarnya tidak suka apabila pihak sekolah mengenakan peraturan yang ketat tetapi kini saya bersyukur kerana situasi itulah yang memaksa diri ini belajar memperbaiki diri tanpa banyak gangguan," katanya kepada Sinar Bestari.
Megat, 33, mengakui pernah berasa pasrah apabila namanya terpilih untuk kelas aliran Perakaunan, walaupun tidak berminat langsung untuk bekerja dalam sektor berkaitan sains atau sastera. Ketika itu, yang dia mahukan hanyalah bermain sukan.
“Cukup sukar untuk saya memahami subjek Perakaunan dan semua jargon debit-kredit, meskipun mahir dengan nombor. Akibatnya, saya gagal semua ujian perakaunan sepanjang Tingkatan 4.
"Saya beritahu ibu, sudah berputus asa dengan aliran Perakaunan tetapi dia meminta supaya terus bertahan. Malah, saya juga gagal kertas Perakaunan dalam peperiksaan percubaan SPM," katanya.
Megat berkata lagi, ketika itu jugalah guru subjek tersebut tampil memberikan nasihat dan berbincang mengenai situasi dirinya.
“Dia bertanya; ‘kamu mahu buat atau tidak? Kalau mahu, saya akan ajar kerana kamu berpotensi. Walaupun kamu tidak sedar potensi diri sendiri’.
"Kata-kata itu menyedarkan bahawa saya perlu ada kemahuan dan percaya boleh melakukannya. Selepas kejadian itu, saya berusaha sebaik mungkin dan membuat semua orang terkejut apabila mendapat A1 untuk subjek Perakaunan!”
Pencapaian seterusnya datang dalam bentuk nota tahniah dari Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA).
“Saya tidak tahupun apa itu ACCA dan terpaksa mencari maklumat mengenainya. Jika difikirkan balik, siapa sangka tindakan yang begitu ringkas memberi impak besar pada saya.
"Saya tidak mempunyai banyak pilihan lain dan semua detik kecil seperti nasihat guru saya dan menerima nota daripada ACCA membuat saya sedar diri ini boleh mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang perakaunan," katanya.
Bukan sekadar nombor: 1,001 aspek perakaunan
“Dulu saya fikir perakaunan hanya menawarkan kerja di pejabat, namun hakikatnya ia cuma 20 peratus daripada kerjaya dalam bidang ini.
"Perakaunan melibatkan banyak pemikiran dan kemahiran insaniah. Dalam kerja seharian, saya banyak berurusan dengan klien dan sentuhan kemanusiaan itu sangat penting bagi membolehkan saya bekerja dengan mereka, selain membantu memahami apa yang saya perlukan untuk melaksanakan tugas.
"Kita bukan kalkulator mahupun robot – kita sudah ada alat-alat ini untuk digunakan. Apa yang diperlukan adalah insan yang berintegriti, boleh selesaikan masalah dan membawa kebaikan kepada klien serta syarikat.
"Secara keseluruhannya, saya tidak menyangka bidang perakaunan ini mendatangkan kepuasan sekali gus kepuasan dalam kalangan anggota asal Young Members Network ACCA,” kata Megat.
Sedikit tip buat calon SPM
1. Jika mahukan sesuatu, mesti berusaha dapatkannya
Semuanya akan berubah apabila anda percaya pada diri sendiri dan berusaha sebaik mungkin. Disiplin diri dan kesungguhan amat membantu.
2. Ketahui apa yang ingin dicapai
Jika anda sedang belajar tetapkan matlamat anda – contohnya, untuk menghabiskan satu bab dalam satu jam. Pastikan anda fokus dan berada di landasan yang betul, ketepikan seketika telefon dan perkara-perkara lain yang boleh mengganggu tumpuan anda.
3. Manfaatkan kaedah yang sesuai untuk anda
Ketahui gaya belajar – adakah anda dapat belajar dengan lebih baik apabila bersendirian atau berkumpulan, pada waktu pagi atau lewat malam? Jika ada yang tidak difahami, carilah seseorang yang dapat membantu seperti pelajar yang pandai dalam subjek berkenaan. Jangan keluar kelas dengan tangan kosong dan tanpa belajar sesuatu.
4. Jangan putus asa
Boleh mempunyai masa depan dalam bidang perakaunan walaupun keputusan untuk subjek Perakaunan anda tidaklah begitu cemerlang. Ada banyak pilihan pembiayaan dan biasiswa untuk anda melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah. Apa yang penting berusahalah bersungguh-sungguh dan ingatlah kesilapan dan ketidakcemerlangan lalu bukan penamat dunia anda. Jika ada yang membetulkan kesilapan anda itu, bersyukurlah dan belajar supaya tidak mengulanginya – inilah sikap yang membezakan di antara orang berjaya dengan gagal dan orang akan melihat serta menghargai usaha anda itu.
5. Bijak merancang masa hadapan
Carilah kerjaya yang mempunyai masa hadapan yang luas supaya anda tidak melabur masa dan usaha dalam bidang pendidikan yang bakal luput. Perakaunan adalah salah satu daripadanya kerana setiap perniagaan memerlukan akauntan dan belajar perakaunan mempersiapkan anda untuk pilihan kerjaya yang cukup luas. Tidak kira apa jua yang anda pilih, sama ada perakaunan, sukan atau kerjaya sebagai pempengaruh media sosial, pastikan anda menjadi akauntan, atlet dan pempengaruh media sosial yang bijak supaya anda boleh menguruskan kerjaya dan kehidupan anda sebaik-baiknya.