Kredit foto: ustudiographydd59/123RF
Kredit foto: ustudiographydd59/123RF

7 kerjaya dalam bidang perkomputeran yang boleh diceburi mahasiswa

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
05 Apr 2023 02:25pm

Apabila tamat pengajian, perkara pertama yang akan dilakukan mahasiswa adalah mencari pekerjaan bersesuaian dengan kelayakan dimiliki.

Bagaimanapun, bukan mudah untuk mendapat pekerjaan dalam waktu yang singkat.

Seseorang itu harus mencari dan terus mencari sehingga berjaya mendapat kerjaya idaman.

Hari ini, Sinar Bestari ingin berkongsi senarai kerjaya kepada penuntut yang mempunyai kelulusan dalam jurusan komputer.

Difahamkan, jurusan komputer menawarkan banyak kerjaya menarik untuk para penuntut.

Jom kita lihat contoh-contoh kerjaya dalam bidang ini.

1) Penganalisis Sistem

Penganalisis sistem adalah profesion teknologi maklumat yang mengkhusus dalam menganalisis, mereka bentuk dan melaksanakan sistem komputer. Mereka akan menganalisis masalah sistem, merancang dan menguji piawaian serta mencari penyelesaian.

Artikel Berkaitan:

Sistem komputer memerlukan ketelitian yang tinggi untuk dirangka. Jadi, tugas seorang penganalisis sistem amat penting dalam memastikan sistem yang dibina berfungsi dengan baik dan menepati kemahuan pelanggan.

2) Pakar Keselamatan Siber

Antara kerjaya dalam bidang komputer yang dikatakan mempunyai pendapatan tertinggi adalah pakar keselamatan siber.

Peranan utama pakar keselamatan siber ialah mencegah serangan siber ke atas sistem maklumat yang mahu mendapatkan pelbagai akses untuk info tertentu.

Waktu bekerja bagi kerjaya ini sememangnya tidak menentu kerana penggodaman sistem boleh berlaku pada bila-bila masa. Mereka perlu sentiasa bersedia untuk melindungi sistem komputer.

3) Jurureka Web

Bagi memastikan laman web (laman sesawang) yang diusahakan dapat berfungsi tanpa sebarang gangguan, seorang jurureka web memainkan peranan penting dalam hal ini.

Terdapat beberapa jenis jurureka web yang perlu anda ketahui antaranya front end developer dan back end developer.

Front end developer membangunkan laman web dan visual menggunakan HTML, CSS dan JavaScript manakala back end developer membangunkan web menggunakan bahasa pengaturcaraan.

4) Jurutera Rangkaian

Jurutera rangkaian adalah individu yang mempunyai kepakaran untuk merancang, melaksanakan dan mengawasi rangkaian komputer yang menyokong perkhidmatan suara, data, video dan rangkaian tanpa wayar.

Tugas mereka termasuklah memilih perisian yang patut digunakan bagi menepati spesifikasi ditetapkan oleh sesuatu organisasi di samping memperbaiki peralatan dan sistem yang sudah lama.

5) Pengaturcara

Umum mengetahui yang pengaturcara sememangnya merupakan antara pekerjaan termahal dalam bidang ini dek kepakaran dimiliki oleh mereka.

Kebolehan untuk menguasai beberapa bahasa pengaturcaraan seperti BASIC, C, C++, COBOL, Java, FORTRAN, Ada dan Pascal merupakan kemahiran yang perlu dimiliki seseorang pengaturcara.

6) Pengurus Teknologi Maklumat (IT)

Pengurus IT diperlukan di semua syarikat. Mereka bertanggungjawab merancang dan menyelaras aktiviti berkaitan dengan komputer dan sistem maklumat sesebuah syarikat.

Bermula dari peralatan hingga ke perisian komputer sesebuah organisasi atau syarikat, pengurus IT bertanggungjawab kepada pemasangan dan penyelenggaraan.

7) Juruteknik Komputer

Juruteknik komputer bertanggungjawab menjalankan kerja penyelenggaraan sistem komputer dan sistem operasi.

Sekiranya menerima aduan tentang kerosakan sistem komputer, mereka dipertanggungjawabkan untuk membaik pulih sistem itu supaya berfungsi seperti sedia kala.

Selain itu, juruteknik komputer juga akan memantau sistem berkenaan dari semasa ke semasa supaya sentiasa berada dalam keadaan baik.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp