Muzium Negara antara lokasi menarik yang sesuai dikunjungi warga sekolah dalam mendapatkan maklumat tentang sejarah dan budaya hidup masyarakat Malaysia pelbagai kaum.
Muzium Negara antara lokasi menarik yang sesuai dikunjungi warga sekolah dalam mendapatkan maklumat tentang sejarah dan budaya hidup masyarakat Malaysia pelbagai kaum.

Berikut 10 tempat menarik yang sesuai dilawati guru dan murid

ROSHLAWATY MD RAIEH
29 Jul 2023 10:17pm
A
A
A

Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan (KPM) mengeluarkan Garis Panduan Lawatan Murid Sekolah bawah KPM Mulai Tahun 2023 sebagai panduan pihak sekolah yang ingin mengadakan lawatan ke tempat-tempat tertentu.

Dalam garis panduan tersebut, KPM memberi penjelasan tentang tatacara pelaksanaan aktiviti lawatan murid bagi peringkat pendidikan prasekolah hingga peringkat pendidikan lepas menengah.

Susulan pemakluman garis panduan itu juga, Sinar Bestari mendapati kebanyakan sekolah mula menganjurkan lawatan murid berunsurkan pendidikan yang boleh memberi pengukuhan kepada proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

Sebagai contoh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nibong, Pulau Pinang telah mengadakan lawatan ke Parlimen Malaysia; SMK Serian, Sarawak ke Institut Latihan Perindustrian Kota Samarahan, Sarawak serta sekumpulan pelajar Maahad Tahfiz Sains Pengajian Islam Baitussaadah, Kota Damansara, Selangor pula melawat Masjid Negara dan Muzium Kesenian Islam.

Memandangkan hampir setiap hari lawatan murid diadakan ke destinasi pilihan, apa kata guru dan murid serta pelajar mengambil peluang melawat ke 10 tempat menarik yang dikongsi Sinar Bestari ini.

10 lokasi menarik yang terdapat di Kuala Lumpur dan Melaka ini pastinya menjanjikan 1001 pengalaman terindah kepada para peserta.

Berikut adalah senarai lokasinya.

1) Pusat Sains Negara

Artikel Berkaitan:

Pusat Sains Negara merupakan sebuah taman tema berkonsepkan sains dan teknologi yang terletak di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Secara rasminya ia dibuka pada tahun 1996 di bawah seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Terdapat pelbagai pameran unik dan kreatif yang boleh dilihat para pengunjung.

Mereka tidak hanya melihat dan belajar secara teori sebaliknya mampu berinteraksi secara amali untuk memahami konsep sains yang berkaitan.

2) Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor

Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor merupakan sebuah perpustakaan yang tidak asing lagi dalam negara kita.

Ia terletak di Shah Alam, Selangor dan mempunyai bangunan enam tingkat serta dibina di tepi sebuah tasik.

Rekaan bangunannya berkonsepkan perpustakaan dalam taman yang dilengkapi dengan kemudahan pembelajaran berteknologi tinggi.

Suasana dan kemudahannya tidak hanya disukai oleh kanak-kanak tetapi turut digemari orang dewasa.

3) Planetarium Negara

Planetarium Negara, Kuala Lumpur beroperasi pada hari Selasa hingga Ahad bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Tarikan utama Planetarium Negara adalah pawagam angkasa yang menayangkan tayangan angkasa dan filem yang hebat serta Teleskop 14 yang terletak dibalai cerap.

4) Muzium Negara

Muzium Negara yang berlokasikan Kuala Lumpur itu merupakan tempat terbaik untuk dilawati bagi mereka yang ingin mempelajari sejarah dan budaya hidup masyarakat Malaysia pelbagai kaum.

Terdapat pameran yang menempatkan barangan sejarah, barang-barang seni, tembikar, kebudayaan, peralatan orang bangsawan dan sebagainya.

5) Muzium Seni Asia

Muzium Seni Asia merupakan sebuah muzium yang terletak di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Muzium Seni Asia telah dibuka secara rasmi pada tahun 1980 dan ditempatkan di dalam bangunan tiga tingkat yang terletak di antara Fakulti Undang-undang dan Fakulti Ekonomik dan Pentadbiran.

Muzium ini memuatkan sehingga 2,000 kepingan seramik dari Malaysia, Thailand, Kemboja, Vietnam, China, Jepun, India dan Iran.

Selain seramik, muzium ini juga mempunyai koleksi kendi terbesar di dunia dan artifak bersejarah seperti keris picit yang dikatakan dibentuk dengan menggunakan jari.

6) Muzium Sejarah dan Etnografi

Muzium Sejarah dan Etnografi merupakan antara muzium yang wajib dilawati apabila guru dan pelajar berkunjung ke Melaka.

Maklumat dan artifak bermula dari zaman Kesultanan Melaka, penjajahan Portugis, Belanda, Jepun dan Inggeris ada disediakan di muzium ini.

Seni bina Belanda yang berusia lebih 350 tahun itu merupakan bangunan yang diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan.

7) Hutan Simpan Bukit Nanas

Lokasi hutan simpan ini adalah di tengah-tengah ibu kota, Kuala Lumpur.

Ia sering dikunjungi pelancong dari luar negara kerana menempatkan pelbagai jenis flora dan fauna.

Pelbagai kemudahan disediakan kepada warga sekolah yang datang membuat kunjungan antaranya taman permainan, trek joging dan laluan titi gantung.

8) Taman Burung Melaka

Taman Burung Melaka ialah sebuah kandang burung di Ayer Keroh, Melaka.

Ia dibuka pada 23 Mac 2013 dan merupakan taman burung terbesar di Asia dengan keluasan keseluruhan 2.02 hektar.

9) The Shore Oceanarium

The Shore Oceanarium merupakan taman hidupan laut yang terletak di The Shore Shopping Galerry, Melaka.

Guru dan pelajar yang berkunjung ke sini berpeluang menyaksikan bermacam-macam hidupan laut seperti ikan yu pasir (bamboo shark), bintang pasir (starfish), belangkas (hosreshoe grab), umang-umang (hermit crab), landak laut (sea urch), ikan pari (stingray), gamat laut (sea cucumber) dan ikan buntal.

10) Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka

Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka terletak di Ayer Keroh, Melaka.

Ia merupakan taman haiwan yang paling komprehensif dengan perbagai spesies tempatan termasuk yang jarang ditemui iaitu Raja Brooke dan Sayap Burung.

Selain itu terdapat juga lebih 400 jenis spesimen serangga untuk PdP murid-murid.

Akhir sekali, semoga info ini memberi idea kepada guru-guru khususnya dalam mencari tempat yang sesuai dan mempunyai manfaat serta informasi berguna terutamanya berkaitan pembelajaran anak-anak didik.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok