Kredit foto: 123rf
Kredit foto: 123rf

Cikgu Samsuri kongsi pendekatan kuasai subjek Sejarah

AZLEENDA SAHALUDIN
02 Oct 2023 11:29am
A
A
A

Berminat untuk menceburi kerjaya perundangan terutama peguam memerlukan seseorang pelajar itu menguasai subjek Sejarah memandangkan kedua-duanya berkait rapat dengan proses hafalan fakta.

Walaupun masih ramai yang menganggap subjek berkenaan sukar untuk dikuasai, namun sebenarnya ia adalah salah satu mata pelajaran menyeronokkan.

Menurut Guru Cemerlang Sejarah 2021, Cikgu Samsuri Amin, tidak dinafikan subjek itu susah terutama buat mereka yang kurang berminat dengan konsep bacaan.

Justeru, guru haruslah memainkan peranan penting bagi memupuk minat pelajar untuk mendalami dan seterusnya menguasai subjek Sejarah.

“Saya meminta rakan panitia untuk bersama-sama memastikan pelajar meminati dan menguasai subjek ini dari peringkat menengah rendah lagi.

“Ia adalah untuk memastikan apabila apabila mereka berada di peringkat menengah atas, mereka akan melihat mata pelajaran ini adalah salah satu subjek yang senang skor dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” ujarnya ketika dihubungi Sinar Bestari baru-baru ini.

Cikgu Samsuri
Cikgu Samsuri

Artikel Berkaitan:

Beliau yang merupakan guru di Sekolah Menengah Sains Labuan, Wilayah Persekutuan Labuan berkata, terdapat beberapa kaedah pendekatan yang boleh digunakan kepada pelajar agar tidak terus menganggap subjek Sejarah sukar dan susah.

Jelas beliau, antaranya kaedah penceritaan, kaedah inkuiri, kaedah mengingat 2 dalam 1, kaedah pembelajaran bertema dan kaedah istilah atau konsep.

Selain itu, Program Guru Muda dan Mentor Mentee turut diadakan bagi membantu pelajar yang lemah untuk meningkatkan prestasi, sekali gus menarik minat mereka skor subjek Sejarah SPM.

Ketika ditanya adakah subjek tersebut memerlukan pelajar menghafal semata-mata, kata Cikgu Samsuri, Sejarah lebih menekankan kefahaman dan penguasaan terhadap sesuatu topik.

“Kaedah menghafal fakta ini kebiasaannya tidak dapat bertahan lama berbanding jika mereka memahami topik-topik dalam Sejarah.

“Namun, terdapat juga sebahagian topik yang memerlukan kaedah hafalan fakta dan untuk memastikan pengukuhan hafalan fakta tersebut, saya menggunakan kaedah pengulangan agar pelajar dapat memahami serta menguasai topik berkenaan dengan baik,” jelasnya lagi.

Tambah Cikgu Samsuri yang sudah 21 tahun berkhidmat dalam dunia pendidikan, setiap pelajar mempunyai kaedah pembelajaran tersendiri termasuklah teknik penguasaan subjek Sejarah.

Justeru, pesan beliau kepada pelajar agar mencari kekuatan dan tidak mudah untuk meletakkan persepsi sukar dalam menguasai sesuatu subjek lebih-lebih lagi subjek Sejarah.

“Bagi saya, semua orang adalah sama dan yang membezakan mereka adalah usaha serta tindakan.

“Melihat kepada perkembangan teknologi hari ini, anak-anak didik boleh menggunakan pelbagai platform media sosial untuk lebih memahami subjek Sejarah seperti yang dipertontonkan di Facebook, YouTube dan TikTok,” tuturnya.

INFO

Pencapaian cemerlang Cikgu Samsuri

1) Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) tahun 2005, 2015 dan 2020

2) Anugerah Platinum Sekolah Berasrama Penuh (SBP) – Kementerian Pendidikan (KPM) (Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) Sejarah SPM bawah 1.0)

3) Anugerah Khas SBP – KPM (100 peratus A)

4) GPMP Sejarah Terbaik Kebangsaan SPM 2020 (0.32)

5) GPMP Sejarah Terbaik Kebangsaan SPM 2022 (0.17)

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok