Dr Hui Cheng kongsi pengalaman berharga sebagai pakar bius haiwan
Kerjaya sebagai pakar bius haiwan penuh dengan cabaran.
Ini diakui sendiri Profesor Madya Dr Chen Hui Cheng yang kini merupakan doktor pakar anestesiologi (pakar bius haiwan) di Hospital Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UVH UPM).
Ini kerana, turut beliau, tanggungjawab sebagai pakar bius haiwan berisiko tinggi untuk pembedahan.
“Sebelum pembedahan, pakar bius haiwan perlu memastikan situasi pesakit dalam keadaan stabil dan meneliti sebarang risiko semasa pembedahan.
“Mereka juga harus memastikan apakah komplikasi yang mungkin berlaku selain merancang kaedah terbaik pembiusan agar proses pembedahan dapat berjalan lancar,” ujar Hui Cheng.
Selain peranan dalam bilik bedah, pemantauan dan penjagaan keselamatan haiwan selepas pembedahan turut menjadi tanggungjawab pakar bius ini.
Dalam masa sama, mereka juga berperanan dalam aspek 'acute pain service' atau perkhidmatan rawatan kesakitan akut sebaik sahaja selepas pembedahan dilakukan.
Sebagai doktor pakar anestesiologi yang berkhidmat di UPM sejak 1998, pengalaman pertama Hui Cheng membius haiwan cukup mencemaskan kerana ia bagaikan satu garisan halus di antara hidup dan mati haiwan tersebut.
“Bagi haiwan seperti kucing dan anjing yang sudah tua dan berdepan dengan penyakit jantung serta paru-paru, mereka akan lebih berisiko mengalami komplikasi selepas mendapat suntikan bius.
“Sekiranya prosedur dan dos ubat tidak diberikan secara tepat, haiwan tersebut akan mati dan inilah risiko yang perlu dilalui pakar bius haiwan. Namun apabila prosedur ini dilakukan beberapa kali, barulah kita memahami cara haiwan respon dan tindak balas yang diberikan,” ujarnya.
Berkongsi pengalaman yang sukar dilupakan, Hui Cheng berkata, ketika di Kanada, terdapat satu kes kecemasan melibatkan seekor kuda yang menghidap kolik iaitu kompleks penyakit dengan keparahan yang berbeza-beza pada bahagian perut disebabkan pelbagai faktor.
“Bukan satu tugas mudah dalam mengawal situasi kuda ini. Saya dan rakan-rakan perlu menenangkan haiwan itu yang beratnya 750 kilogram untuk dibius dengan dos ubat yang tepat dalam waktu singkat bagi mengelakkan komplikasi.
“Mujurlah semuanya berjalan lancar dan kuda tersebut dapat diselamatkan,” jelas beliau.
Akhir sekali, Hui Cheng memberi kata-kata semangat kepada pelajar dan mahasiswa yang bercita-cita mahu menjadi doktor haiwan atau pakar bius haiwan.
“Teruskan usaha baik pelajar mahupun mahasiswa untuk belajar dan mencapai matlamat yang diingini.
“Ada ketika anda mungkin berasa letih atau terlalu sukar untuk mencapainya, namun berehatlah sebentar dan bangkit semula.
“Kemudian, bersemangatlah dan jangan pernah mengalah,” jelas beliau.