Fakta penting International Baccalaureate sebagai sumber rujukan para pelajar
Nama pelajar Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan, Raz Irina Mohd Razlan menjadi bualan netizen apabila meraih kejayaan luar biasa dengan mencapai skor sempurna 45/45 poin dalam peperiksaan International Baccalaureate (IB) Mei lalu.
Dia yang merupakan pelajar kohort 6 Program Diploma IB bagi kolej tersebut telah mencapai gred tertinggi iaitu Gred 7 bagi enam kumpulan subjek termasuk tiga mata penuh bagi mata pelajaran CORE (Extended Essay dan TOK).
Dek pencapaian yang luar biasa itu, gadis bijak ini telah menerima tawaran melanjutkan pengajian ke Imperial College London dalam jurusan MEng Chemical Engineering. Alhamdulillah!
Kerana kejayaan itu, pengikut di Facebook Sinar Bestari tampil memberi ucapan, doa dan kata-kata semangat kepada Raz Irina.
Antara yang sempat dipetik adalah;
Ibm Miri: Tahniah insan anugerah ALLAH yang cerdik.
Zaiton Madyusoff: Semoga terus berjaya di dunia dan di akhirat.
Ani Ahmad: Tahniah anak Melayu.
Kementerian Pendidikan (KPM): Raz Irina merupakan seorang pelajar yang sentiasa komited, positif, mempamerkan kematangan diri dalam berfikir, ampuh berdikari dan menunjukkan konsistensi serta kecemerlangan dalam pembelajarannya.
Noraziana Mohd Zin: Syabas buat anakanda semoga berjaya di dunia dan akhirat. Aamiin Ya Mujib.
Hasnah Abdullah: Barakallahu fik (Semoga ALLAH memberkati kamu).
Annie Ahamad: Semoga ALLAH kekalkan kecemerlangan dan kejayaan dunia akhirat serta tidak lupa pada agama, diri dan asal usul.
Ester Lily: Alhamdulillah tahniah dapat melepasi dengan cemerlang, memang sukar peperiksaan IB ini.
Fadzalih Mahmud: Fuh, hebat! Syabas dan tahniah Raz Irina. Semoga cemerlang dunia akhirat.
Berikutan pencapaian cemerlang Raz Irina dalam peperiksaan IB Mei 2023, ramai yang tertanya-tanya, apakah Program IB yang diikuti oleh pelajar ini di Kolej Tunku Kurshiah.
Untuk mengetahuinya, jom Sinar Bestari kongsikan senarai maklumat penting berhubung latar belakang IB.
Menurut portal KPM, IB merupakan sebuah program peringkat diploma atau program prauniversiti yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Program ini dijalankan dalam tempoh dua tahun iaitu empat semester.
Diploma IB merupakan kelayakan yang boleh diterima pakai bagi kemasukan ke program ijazah sarjana muda di dalam negara dan di luar negara.
Ia dilaksanakan di The Malay College Kuala Kangsar, Perak pada tahun 2011 dan di Kolej Tunku Kurshiah pada 2016.
KPM berperanan menyelaras pengoperasian program Diploma IB di sekolah KPM.
Manakala International Baccalaureate Organization (IBO) yang berpusat di Geneva, Switzerland bertindak sebagai badan yang menggubal dasar, kurikulum, penaksiran dan mengawal kualiti pelaksanaan program.
Pelaksanaan Program Diploma IB telah diluluskan dalam Mesyuarat Profesional KPM Bilangan 1/2009 bertarikh 7 Januari 2009 dan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi KPM Bilangan 9/2009, 24 Jun 2009.
Bagi sekolah yang terpilih melaksanakan Program Diploma IB, sekolah perlu melalui proses pengiktirafan IB berpandukan Guide to School Authorization: Diploma Programme.
Terdapat beberapa tujuan Program Diploma IB dilaksanakan di sekolah KPM, antaranya adalah;
1) Membangunkan modal insan berkepimpinan utuh
Sejajar dengan hasrat Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 bagi membangunkan modal insan yang berkepimpinan utuh dan berketerampilan unggul.
2) Pengiktirafan antarabangsa
Program ini amat bertepatan dengan aspirasi yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang berhasrat memartabatkan sistem pendidikan Malaysia di peringkat antarabangsa.
Pengurusan pelajar
Pengurusan pelajar Program Diploma IB melibatkan perkara seperti;
1) Pemilihan pelajar
Pelajar yang ditawarkan ke Program Diploma IB perlu memenuhi semua syarat kemasukan program yang ditetapkan oleh sekolah.
2) Pembiayaan pengajian
Mereka yang ditawarkan perlu membiayai kos pengajian melalui penajaan sama ada oleh kerajaan, swasta, badan berkanun atau persendirian.
3) Sahsiah pelajar
Pelajar tertakluk kepada peraturan dan disiplin sekolah.
Dalam pada itu, Program Diploma IB menawarkan kursus selama dua tahun pengajian melibatkan empat semester yang meliputi 20 minggu setiap semester.
Sebagai contoh, agihan bagi satu semester adalah 17 minggu Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), seminggu persediaan dan dua minggu peperiksaan.
Manakala, penawaran mata pelajaran pula adalah berdasarkan permintaan pelajar, kepakaran guru dan kemudahan sekolah.