Jurugambar beri ‘nyawa’ pada imej pegun
Industri fotografi tanah air tidak pernah ketandusan bakat-bakat seni visual yang mampu menterjemah karya sehingga peringkat antarabangsa.
Salah satu nama ‘otai’ yang sudah lama bertapak dalam industri kewartawanan foto (photojournalist) ialah Shamshahrin Shamsudin.
Lelaki berusia 52 tahun itu pernah menabur bakti bersama agensi berita antarabangsa Agence France-Presse (AFP) dan European Pressphoto Agency (EPA) sejak tahun 1999 hingga 2014.
Graduan Diploma Fotografi itu berkata, menceburi bidang fotografi terutama cabang berita memerlukan etika kewartawanan yang tinggi apabila merakam subjek.
“Sebagai contoh, kita tidak boleh melakonkan imej pegun yang ingin dirakam jika memahami tentang etika kewartawanan. Kita perlu melaporkan sesuatu yang benar.
“Selain itu, apabila sudah melangkah dalam industri, sentiasa jaga tingkah laku. Amalkan sikap rendah diri dan hormat menghormati sesama rakan seperjuangan,” katanya.
Shamshahrin yang pernah mengadakan pameran di Gwangju dan Pulau jeju, Korea Selatan berkongsi empat peringkat bergelar jurugambar kompeten.
1 KomposisiSecara asas, peringkat ini adalah memahami dan memahirkan diri dalam menguasai aspek teknikal serta komposisi fotografi.
Ia termasuk mengenali kamera, komposisi seperti rule of third, fill the frame, perspektif, semetri, panning, framing dan lain-lain.
2 InformasiInformasi bermaksud meletak cerita pada imej pegun yang hendak dirakam. Ia bukan membidik kamera sesuka hati tanpa arah tujuan.
Kebiasaannya, jurugambar dalam bidang kewartawanan perlu memahami jalan cerita tugasan yang diberikan kepada mereka untuk merakam gambar.
3 EmosiPeringkat ini, jurugambar sudah mahir dalam merakam imej pegun yang cantik dan mempunyai jalan cerita.
Begitupun, ia tidak mencukupi apabila tidak mampu melahirkan emosi pada gambar berkenaan.
4 Hubungan dengan karya (Intimacy)Banyak jurugambar yang bagus tetapi tidak semua mampu mencapai sehingga tahap ini kerana ia agak subjektif.
Sebagai contoh, karya bapa memegang tangan anak kecil kelihatan biasa sahaja.
Begitupun, mereka yang mencapai tahap ini, gambar tersebut akan memberi kesan kepada umum malah berbicara tentang kasih sayang kepada anak kecil itu.