Bongkah abu yang dikumpul akan dibuang di tengah laut mengikut garis panduan Jabatan Laut Malaysia.
Bongkah abu yang dikumpul akan dibuang di tengah laut mengikut garis panduan Jabatan Laut Malaysia.

Melupus al-Quran bukan tugasan mudah

Perlukan kesabaran yang tinggi dalam kesempurnaan memuliakan al-Quran

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
10 Apr 2023 10:51am
A
A
A

Melangkah masuk ke kawasan Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selaseh, Kuala Lumpur, berdiri teguh sebuah bangunan dikenali Pusat Pemuliaan al-Quran Darul Kalam.

Di satu sudut, kelihatan kelibat seorang lelaki sedang fokus membelek sebuah buku.

Satu per satu helaian muka surat diperhati dengan terperinci jika terdapat ayat-ayat suci al-Quran dalam naskhah terbabit.

Pembantu Hal Ehwal Islam, Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Hairolesham Misri berkata, ia merupakan antara tugasan yang perlu dilaksanakan apabila memegang amanah di Pusat Pemuliaan al-Quran Darul Kalam.

Bongkah yang sudah kering akan dikumpul terlebih dahulu sebelum proses pelupusan di laut.
Bongkah yang sudah kering akan dikumpul terlebih dahulu sebelum proses pelupusan di laut.

“Sebagai seorang petugas, kita tidak boleh terlepas pandang walau sehelai pun ayat-ayat suci al-Quran dalam mengasingkan bahan bukan teks atau bahan al-Quran.

“Ia amat penting sebelum dilupuskan dalam relau untuk proses pembakaran kelak,” katanya yang sudah satu tahun berkhidmat di pusat terbabit.

Mohd Hairolesham menambah, pengasingan mengambil masa yang lama bergantung k•epada ketebalan buku-buku yang diterima daripada pemohon.

Artikel Berkaitan:

Begitupun dia memberitahu, jika menerima al-Quran, ia tidak mengambil masa yang terlalu lama.

“Sebelum melakukan pengasingan, para petugas terlebih dahulu akan menimbang bahan-bahan atau al-Quran yang diterima di pusat itu bagi tujuan rekod penerimaan.

“Kapasiti relau di Darul Kalam hanya mampu menampung pembakaran antara 100 hingga 150 kilogram (kg) sahaja dalam tempoh sehari.

“Bahkan, ruang penyimpanan bahan pemuliaan yang terhad menyebabkan penerimaan perlu dibuat secara berjadual dan janji temu,”tuturnya.

Isu dan cabaran

Selain itu, dia memberitahu, al-Quran ataupun buku-buku yang basah juga perlu dikeringkan terlebih dahulu untuk memastikan proses pembakaran dapat dilakukan dengan sempurna.

Proses pengeringan perlu dilakukan untuk memastikan proses pembakaran dapat dilakukan dengan sempurna.
Proses pengeringan perlu dilakukan untuk memastikan proses pembakaran dapat dilakukan dengan sempurna.

Sebagai contoh, tutur lelaki itu, kejadian banjir besar yang berlaku di Lembah Klang baru-baru ini telah menyebabkan banyak al-Quran mengalami kerosakan.

“Justeru, ia perlu dikeringkan terlebih dahulu malah Pusat Pemuliaan al-Quran Darul Kalam telah mendapatkan khidmat sukarelawan dalam membantu proses pemuliaan al-Quran untuk memenuhi permintaan tinggi.

“Selepas proses pengasingan tersebut, ia akan dimasukkan dalam mesin perincih relau atau dirincih secara manual menggunakan mesin rincih berkuasa tinggi,” katanya yang sesekali mengesat peluh menahan haba kepanasan ketika bulan Ramadan ini.

Sambungnya, bahan dari mesin perincih akan disalurkan ke relau pembakaran dan proses pembakaran mengambil masa lebih kurang lapan jam bagi anggaran berat bahan 100 hingga 150kg.

Petugas akan memastikan pembakaran al-Quran berlaku dengan sempurna sehingga menjadi abu.

Anisah.
Anisah.

Tiada kriteria spesifik

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Penyelidikan JAWI, Anisah Musa berkata, abu sisa pembakaran pula akan dicampur dengan air bagi membentuk bongkah dan dikeringkan untuk memudahkan kerja-kerja penyimpanan dan pembuangan ke laut.

Katanya, bongkah abu yang dikumpul akan dibuang di tengah laut mengikut garis panduan Jabatan Laut Malaysia.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, tiada kriteria spesifik untuk menceburi bidang Pemuliaan al-Quran tersebut.

“Syarat bagi yang menjalankan kerja Pemuliaan al-Quran ialah orang Islam dan Suci dari hadas.

“Jika memiliki asas al-Quran lebih baik kerana perlu meneliti helaian muka surat untuk bahan terbitan yang mempunyai ayat-ayat suci al-Quran,”ujarnya.

Anisah sedang mengikat kemas bungkusan bongkah abu sisa pembakaran al-Quran.
Anisah sedang mengikat kemas bungkusan bongkah abu sisa pembakaran al-Quran.

Beliau memberitahu, di Darul Kalam pengasingan dilakukan kerana kapasiti terhad malah memohon sesiapa yang hendak menghantar buku agama untuk mengasingkan helaian yang terdapat ayat al-Quran sebelum dihantar ke pusat.

Katanya, kompleks yang dibangunkan bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tersebut merupakan Pusat Pemuliaan al-Quran bagi memenuhi tuntutan fardu kifayah untuk umat Islam di Wilayah Persekutuan.

“Sebagaimana diketahui khalayak, antara isu dan masalah dihadapi masyarakat hari ini adalah berkaitan pelupusan teks ataupun bahan yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran.

“Kewujudan Pusat Pemuliaan al-Quran bertepatan untuk memberi kemudahan kepada umat Islam di Wilayah Persekutuan melupuskan al-Quran mereka,” katanya.

Info

Syarat menghantar al-Quran untuk dilupuskan di Pusat Pemuliaan al-Quran Darul Kalam.

  • Pemohon atau institusi menetap atau berada di Wilayah Persekutuan.
  • Hanya naskhah al-Quran sahaja yang diterima untuk pelupusan.
  • Hubungi JAWI terlebih dahulu bagi penetapan jadual penghantaran.
  • Organisasi atau institusi perlu menghantar surat permohonan pelupusan kepada Pengarah JAWI.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok