Nur Alia dalami ilmu bikin biskut raya di KVSAS
Hidangan kuih ataupun biskut raya merupakan antara juadah pilihan tetamu-tetamu bertandang ke rumah meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Lebih manis apabila juadah kegemaran ramai berkenaan adalah hasil buatan sendiri yang dibakar dalam ketuhar dengan penuh kasih sayang.
Penuntut Program Diploma Bakeri dan Pastri, Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad (KVSAS), Telok Datok, Banting, Selangor, Nur Alia Elisa Yusni memberitahu, dia sangat bertuah kerana dapat mendalami kemahiran pembuatan pelbagai jenis kuih serta biskut raya di institut pengajian tersebut.
“Melalui pengajian di KVSAS, saya berpeluang mempelajari teknik dan pembuatan biskut raya termasuk sarang semut, makmur, semperit, tat nanas serta almond London.
“Pembuatan biskut-biskut raya berkenaan mempunyai ciri-ciri tersendiri daripada warna, rasa, aroma dan rupa bentuk untuk diolah sebaik mungkin untuk memastikan ia kelihatan menarik,” tutur anak ketiga daripada empat adik-beradik itu.
Bagaimanapun, Nur Alia Elisa memberitahu, pembuatan biskut sarang semut merupakan antara produk makanan yang renyah untuk dihasilkan jika tidak memiliki kesabaran dan ketelitian.
Wanita berasal dari Kampung Olak Lempit, Banting, Selangor itu, menjelaskan, adunan biskut tersebut perlu diparut halus-halus untuk mendapat doh kelihatan seperti sarang semut.
“Secara peribadi, satu lagi kuih raya yang saya rasa agak meletihkan untuk dibuat adalah tat nanas.
“Ia kerana kuih kegemaran ramai ini perlu melalui beberapa proses sebelum menjadi produk akhir.
“Bagi mereka yang baru berjinak-jinak hendak membuat kuih atau biskut raya, saya menggalakkan mencuba semperit terlebih dahulu. Ia tidak sukar dan mudah untuk dihasilkan,” ujarnya.
Bercerita mengenai penglibatan dalam pembuatan biskut raya, Nur Alia berkata, dia kerap membantu ibu yang menerima tempahan kuih dan biskut raya.
Sambungnya, dia akan merasai kepuasan dalam pembuatan biskut raya apabila pelanggan ataupun orang merasai biskut raya buatannya berpuas hati dengan rasa, rupa bentuk dan aroma yang dihasilkan.
“Saya juga sangat gemar membuat biskut raya tradisional. Ia mempunyai nilai sentimental tersendiri dalam mengimbau kenangan-kenangan dahulu.
“Bahkan, biskut raya tradisional ini lebih popular berbanding biskut raya moden hari ini,” katanya.
Menutup bicara, dia memberitahu ingin memiliki kedai pastri dan kopi sendiri apabila tamat pengajian kelak.