Panitia dan kelab guru, berikut 8 kaedah mudah untuk anda mencari dana
Penubuhan panitia mata pelajaran dan kelab guru bagaikan satu kewajipan di sekolah masing-masing.
Ini kerana penubuhan jawatankuasa sebegini mendatangkan pelbagai manfaat kepada ahli-ahlinya dan juga seluruh warga sekolah terbabit.
Manfaat yang paling ketara dengan kewujudan panitia subjek dan kelab guru adalah penganjuran pelbagai program atau aktiviti yang dilihat berupaya mengeratkan silaturahim warga sekolah dan komuniti setempat.
Bagaimanapun, program yang bakal dianjurkan panitia dan kelab guru selalunya memerlukan kos tinggi khususnya dalam penyediaan makan minum, hadiah, bahan-bahan berkaitan program dan bayaran penceramah.
Oleh itu, beberapa inisiatif telah dilakukan para guru dalam mendapatkan dana atau wang tambahan bagi menampung kos program.
Cikgu yang dipertanggungjawabkan mencari dana pastinya gigih mendapatkan jumlah yang diperlukan.
Saat ini bermacam perasaan datang hingga ada kalanya menggangu proses pengajaran guru di sekolah.
Bagi menghilangkan kebimbangan para pendidik dalam perkara ini, Sinar Bestari kongsikan lapan cara mudah untuk mendapatkan dana atau sumbangan dari luar.
Cara-cara tersebut adalah
1) Menganjurkan Hari Kantin, Keusahawanan atau Festival
Program ini sering dianjurkan oleh pihak sekolah untuk mengumpul dana kerana mampu meraih jumlah keuntungan yang besar. Jadi, setiap panitia subjek dan kelab guru yang sedang mencari dana wajar mencuba program sebegini dalam mendapatkan wang tambahan bagi kelab masing-masing.
2) Menjual modul
Menjual modul merupakan salah satu cara yang paling cepat untuk mendapatkan dana namun memerlukan usaha, kerjasama dan kepakaran dalam menghasilkan modul yang berkualiti. Kepada siapa mahu dijual? Boleh sahaja jual secara hardcopy atau sofcopy. Terdapat beribu orang memerlukan modul khususnya bagi subjek peperiksaan.
3) Menjual Bahan Bantu Mengajar (BBM)
Tahukah anda, dengan menjual BBM sahaja guru-guru telah menjana pendapatan sampingan di rumah. Kalau anda bekerjasama dengan panitia dalam penghasilan BBM secara dalam talian atau fizikal, panitia anda akan menerima pendapatan bulanan tanpa perlu bersusah payah mencari derma.
4) Memohon sumbangan syarikat korporat
Perkara ini selalu dibuat oleh sekolah dengan mencari syarikat-syarikat besar yang berpotensi untuk memberi sumbangan dalam kuantiti tertentu. Kebiasaannya, syarikat besar sebegini mempunyai peruntukan khas untuk menyumbang dana kerana mereka akan mendapat pelepasan cukai daripada kebajikan yang telah dibuat.
5) Membuat persembahan
Jika panitia atau kelab guru mempunyai kumpulan seperti kumpulan nasyid, dikir barat, lakonan dan sebagainya boleh kembangkan ke peringkat seterusnya. Mungkin cara ini mampu menambah dana panitia dan kelab guru.
6) Membuat jualan meja
Jualan meja ini apa? Jual meja ini sebenarnya salah satu kaedah yang selalu digunakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mencari dana daripada orang ramai. Jualan meja ini akan dibuka untuk sesebuah majlis dan harga bagi setiap meja mungkin berbeza. Jika berjaya menjualnya, panitia atau kelab guru akan mendapat dana hasil jualan meja berkenaan.
7) Wakaf
Program wakaf biasanya dilaksanakan oleh sekolah di bawah Panitia Agama Islam dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri. Ia dibuat apabila ingin mendapatkan dana untuk pembinaan atau penambahbaikan surau.
8) Kutipan derma
Cara ini sememangnya sering dilakukan oleh sekolah dalam mencari dana atau menambah sumber kewangan panitia masing-masing. Biarpun jumlahnya tidak banyak, namun sekurang-kurangnya ia membantu menambah dana sedia ada.
Akhir sekali, segala kaedah yang diberikan ini adalah sebagai panduan dan rujukan kepada para guru.
Untuk mengetahui kaedah pelaksanaannya secara lengkap, cikgu-cikgu disarankan merujuk individu khususnya yang pakar dalam pemasaran.