Perbezaan antara matrikulasi, asasi, diploma dan STPM! Mohon lepasan SPM buat pilihan terbaik
Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 kini dilihat begitu buntu dalam membuat pilihan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Ia kerana terdapat pelbagai pusat pengajian disediakan kepada mereka dengan penawaran jurusan yang menarik dan terkini.
Antara program yang sering menjadi pilihan adalah matrikulasi, asasi, diploma, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) (Tingkatan Enam), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Kesemua program tersebut menawarkan tempoh pengajian yang telah ditetapkan dan terpulang kepada pelajar untuk memilih pusat pengajian yang mereka sukai.
Hari ini, Sinar Bestari ingin kongsikan beberapa info penting berkaitan perbezaan antara matrikulasi, asasi, diploma dan pengajian Tingkatan Enam (STPM) sebagai panduan buat pelajar.
Dengan maklumat ini sekurang-kurangnya ia membantu anak-anak didik lepasan SPM membuat pilihan untuk destinasi pengajian seterusnya.
1) Matrikulasi
Program ini merupakan ‘fast track’ ke pengajian peringkat ijazah seperti STPM dan asasi.
Matrikulasi adalah satu program di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang hanya layak kepada pelajar bumiputera sahaja.
Ia terbahagi kepada dua iaitu Program Satu Tahun dan Program Dua Tahun serta mempunyai empat jurusan iaitu Sains Hayat, Sains Fizikal, Perakaunan dan Teknikal.
Bagi pelajar yang mempunyai keputusan cemerlang, mereka berpeluang lebih cerah untuk melanjutkan pengajian ke program ijazah.
Lulusan matrikulasi perlu membuat permohonan melalui UPUOnline sekiranya bercita-cita ke menara gading.
2) Asasi
Program asasi dikendalikan oleh universiti yang berkenaan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Terbahagi kepada beberapa jurusan atau khusus, tempoh pengajiannya antara satu hingga dua tahun sahaja.
3) Diploma
Program ini biasanya akan mengambil masa selama tiga tahun dan dikendalikan sendiri oleh pihak Universiti Awam (UA).
Setakat ini hampir semua UA menawarkan program pengajian diploma seterusnya program ke peringkat ijazah yang berkaitan.
Bagi lulusan diploma mereka berpeluang tinggi untuk menyambung pengajian peringkat ijazah atau terus bekerja.
Mereka hanya perlu memohon melalui UPUOnline atau pergi terus ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) berkenaan sekiranya mahu mengikuti pengajian ijazah.
4) Tingkatan Enam
Tingkatan Enam juga merupakan salah satu ‘fast track’ untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda (ijazah pertama).
Pelajar Tingkatan Enam bakal menduduki peperiksaan STPM yang kini sistem pembelajarannya telah berubah dengan mengikut konsep semester seperti di universiti.
Tempoh pengajian yang dilaksanakan adalah selama setahun setengah iaitu tiga semester.
Pengambilan pelajar Tingkatan Enam sangat mudah dan yuran pengajian juga lebih murah berbanding institusi yang lain.
Kini terdapat dua jurusan yang ditawarkan dalam pengajian Tingkatan Enam iaitu Sains dan Kemanusiaan.
Kelebihan Tingkatan Enam
Sebenarnya Tingkatan Enam mempunyai beberapa kelebihan antaranya adalah;
a) Sijil STPM diiktiraf dan sangat laku bagi kemasukan ke universiti luar negara antaranya University of Cambridge di United Kingdom.
b) Dengan memiliki sijil STPM, pelajar sudah boleh bekerja di sektor awam dan juga swasta.