Kredit foto: Pexels
Kredit foto: Pexels

Perkara yang perlu dibuat jika tersesat dalam hutan

07 May 2023 09:46pm

Hutan di negara ini mempunyai keunikan dan keindahan panorama alamnya yang tersendiri.

Tarikan alam yang terdiri daripada pelbagai jenis flora dan fauna membuatkan hutan-hutan ini tidak terkecuali daripada dikunjungi para penyelidik seluruh dunia.

Selain itu, kawasan hutan yang memiliki daya tarikan dan keaslian semula jadi ini dilihat mampu mententeramkan fikiran dan minda.

Tambahan, pelbagai aktiviti menarik seperti merentas hutan, mendaki, mandi sungai dan berkelah bersama rakan-rakan atau keluarga boleh dilakukan.

Namun begitu, walaupun terlihat indah dan mendamaikan pada pandangan mata, pengalaman masuk ke dalam hutan juga boleh menjadi sesuatu yang menyeramkan.

Antara yang menjadi kebimbangan ramai apabila melakukan aktiviti berkaitan hutan ini adalah risiko untuk tersesat.

Jika diambil ringan, tersesat di dalam hutan boleh mendatangkan ancaman kepada nyawa anda.

Sehubungan itu, hari ini Sinar Bestari kongsikan beberapa tip yang anda boleh lakukan sekiranya tersesat di dalam hutan.

Artikel Berkaitan:

Jom baca!

Punca tersesat

Anda harus tahu punca-punca yang boleh membuatkan anda tersesat. Antaranya adalah keadaan mental dan fizikal yang terlalu lemah kerana terlalu penat ataupun lapar.

Faktor-faktor ini boleh membuatkan anda hilang tumpuan semasa berjalan dalam trek di hutan.

Selain itu, antara punca lain termasuk anda terlalu teruja untuk sampai ke destinasi sehingga tidak memberikan tumpuan.

Mungkin juga jurupandu anda kurang bertanggungjawab membiarkan anda berjalan terlalu jauh daripada kumpulan atau membiarkan anda berjalan berseorangan.

Jika tersesat, anda boleh lakukan beberapa perkara di bawah.

1) Berpatah balik

Jika anda yakin sudah tersesat, langkah pertama yang perlu dibuat adalah berpatah balik. Cuba kembali ke trek asal yang anda lalui dengan segera.

2) Mencari kawasan rehat

Anda harus bertenang serta kembalikan tenaga dengan makan dan minum jika ada. Penting untuk anda mencatu kuantiti air dan pengambilan makanan yang ada bagi mengelakkan pembaziran. Cuba untuk bertenang sehingga anda boleh memberikan daya tumpuan yang tinggi untuk menyambung perjalanan.

3) Cari kesan tapak kaki

Trek laluan di dalam hutan kebiasaannya mempunyai kesan tapak kaki yang ditinggalkan oleh pendaki. Oleh itu, jika anda terjumpa kesan itu disarankan untuk tunggu sebentar di kawasan itu. Ini kerana jurupandu mungkin akan melakukan pencarian di kawasan itu selepas sedar anda hilang daripada kumpulan. Selain itu, anda juga mempunyai peluang untuk bertemu dengan pendaki lain yang menggunakan trek di kawasan itu jika bernasib baik.

4) Tunggu dan elak daripada tertidur di kawasan trek

Jika pencarian memakan tempoh lebih dari 24 jam, anda disarankan untuk bersabar dan tunggu di sekitar kawasan trek. Namun diingatkan supaya anda tidak tertidur berdekatan kawasan itu kerana pada waktu malam berkemungkinan trek itu menjadi laluan yang digunakan haiwan.

5) Meletakkan tanda pada laluan.

Sekiranya anda memutuskan untuk berjalan bagi mencari sumber air dan makanan, disarankan supaya anda meninggalkan jejak atau tanda pada laluan yang digunakan. Anda boleh menjadikan barang seperti kain, stokin, tisu atau sebagainya di lantai hutan. Anda juga boleh membuat anak panah atau simbol di atas tanah menggunakan kayu atau batu sebagai tanda untuk memudahkan anda dan pasukan penyelamat yang mencari anda.

6) Mencari punca air atau sungai

Air merupakan instrumen terpenting untuk anda terus bertahan sementara menunggu bantuan tiba. Sekiranya bekalan air yang dibawa sudah habis, terdapat beberapa cara lain untuk anda mendapatkannya misalnya tumbuhan dalam hutan seperti pokok mempelas dan lundang. Pokok-pokok ini mempunyai air pada akarnya dan boleh diminum. Selain itu, anda boleh mencari sungai di sekitar kawasan itu kerana kebiasaanya berhampiran sungai ada penempatan manusia.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp