No Image Caption

Senarai lengkap 6 program sistem pendidikan dilaksanakan di MRSM

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
27 Sep 2023 05:55pm

Baru-baru ini, Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah mewar-warkan mengenai permohonan kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi Tingkatan Satu dan Empat untuk tahun 2024 dalam semua platform media sosial.

Permohonan yang dibuka secara dalam talian pada 15 September hingga 20 Oktober ternyata mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan masyarakat.

Ini kerana masing-masing enggan melepaskan peluang menghantar anak mereka ke salah sebuah MRSM di negara ini.

Untuk pengetahuan pembaca Sinar Bestari, terdapat enam aliran atau program yang ditawarkan MRSM bagi kemasukan calon ambilan 2024.

Berikut dikongsikan senarai aliran atau program untuk calon-calon fahami.

1) MRSM program Premier

Melaksanakan sistem pendidikan MRSM yang berintegrasi antara kurikulum kebangsaan berteraskan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) dan kurikulum MARA yang merangkumi modul pembangunan sahsiah, modul keusahawanan dan modul kemahiran insaniah.

2) MRSM program Ulul Albab

Artikel Berkaitan:

Menawarkan kurikulum sistem pendidikan MRSM disamping nilai tambah termasuk tahfiz al-Quran yang bermatlamat untuk melahirkan ahli profesional, teknokrat dan usahawan yang bukan sahaja berilmu pengetahuan tetapi mempunyai kemahiran dalam bidang keagamaan berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah sebagai generasi Ulul Albab.

3) MRSM program Cambridge International General Certificate of Secondary Education (IGCSE)

Program IGCSE ialah program pendidikan gabungan antara kurikulum kebangsaan berteraskan STEM dan IGCSE yang merangkumi modul pembangunan sahsiah, modul keusahawanan dan modul kemahiran insaniah.

Pelajar-pelajar di MRSM ini akan mengikuti sukatan pelajaran Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), Kursus Khas dan Kursus Pembangunan Sahsiah.

4) MRSM program Teknikal

Melaksanakan kurikulum kebangsaan berteraskan STEM dengan menerapkan eleman teknikal melalui subjek Sains Kejuruteraan pada peringkat menengah rendah. Manakala peringkat menengah atas pula menerusi Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Elektrik atau Elektronik.

5) MRSM program Bitara

Memberi ruang serta peluang untuk pelajar-pelajar yang berpencapaian akademik tinggi bagi membangunkan dan mengembangkan potensi diri mereka hingga mampu menunjukkan ciri-ciri perlakuan bestari (gifted).

Ciri-ciri bestari ini menawarkan pendidikan kepada pelajar yang mempunyai pencapaian akademik tinggi melalui pendekatan pembelajaran pintar cerdas dan pembangunan bakat serta potensi pelajar (gifted & talented).

6) MRSM program International Baccalaureate (IB) Middle Years Programme (MYP)

Melaksanakan kurikulum kebangsaan berteraskan STEM dengan mengintegrasikan kerangka MYP dari sistem pendidikan IB.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp