Amiera memasukkan coklat cadburry untuk baulu inti cadburry
Amiera memasukkan coklat cadburry untuk baulu inti cadburry

Tauke Baulu Inti warisan turun temurun

Amiera usahawan muda tekad kekalkan kewujudan kuih tradisional baulu

MARIATUL QATIAH ZAKARIAMARIATUL QATIAH ZAKARIA
17 Apr 2023 11:47pm

Sambil menjawab pertanyaan yang diajukan, tangannya lincah menyapu minyak ke dalam acuan kemudian memasukkan semula ke dalam ketuhar dan seterusnya keluarkan acuan yang lain dan melakukan perkara yang sama.

Lebih kurang seminit kemudian, ibu kepada seorang cahaya mata ini keluarkan semula acuan untuk dimasukkan pula adunan baulu yang telah siap diadun.

Laju sahaja pergerakan tangannya mungkin kerana sudah biasa membuatnya sejak berumur 13 tahun.

Jadi tidak hairanlah segala kemahiran yang diperoleh sejak 15 tahun lalu masih lagi dipraktikkan malah dapat meningkatkan lagi kemahiran sedia ada.

Bercerita mengenai penglibatannya di dalam pembuatan kuih baulu tersebut, Amiera Najieha Ahmad memberitahu, dia bersama lima lagi adik-beradik yang lain selalu membantu ibu di kedai sejak 2008.

Sememangnya cukup terkenal di Payas, Langkawi, Kedah, dengan baulu segar, kini hanya tiga orang sahaja yang meneruskan legasi Tauke Baulu Inti.

Amiera akan memastikan baulu yang telah dimasak sejuk sepenuhnya sebelum memasukkan ke dalam bekas.
Amiera akan memastikan baulu yang telah dimasak sejuk sepenuhnya sebelum memasukkan ke dalam bekas.

“Pernah selepas Tingkatan Enam saya menjadi cikgu di sebuah sekolah swasta selama tiga tahun tetapi akhirnya berpatah balik menjadi pengusaha kuih baulu kerana ingin meneruskan legasi Tauke Baulu Inti.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu mungkin sebab sudah selesa dan biasa bekerja sendiri jadi apabila emak hendak berpindah ke Perlis, saya membuat keputusan untuk menyambung perniagaan di Langkawi.

“Lagipun sayang hendak tutup kerana Tauke Baulu Inti sudah terkenal di Langkawi dan juga dalam kalangan pelancong,” ujar usahawan muda yang berusia 28 tahun ini lanjut.

Bagaimanapun, sejak 2020 anak kelahiran Langkawi, Kedah, ini telah memulakan perniagaan baulu inti ini di Tampin, Negeri Sembilan, secara dalam talian.

Tempahan hari raya

Berbual mengenai tempahan raya yang diterima tahun ini pula, Amiera yang lebih mesra disapa Miera mengakui tidak menang tangan menghasilkan hampir 1,000 biji baulu sehari berbanding kira-kira 500 biji pada hari biasa bagi memenuhi permintaan pelanggan seluruh negara.

Dia yang mengusahakan perniagaan tersebut di rumah dengan hanya sebuah ketuhar dan juga sebuah mesin adunan berharap satu hari nanti dia dapat mengembangkan lagi perniagaan sedia dalam usaha memenuhi permintaan.

“Pernah sekali saya mengiklankan baulu inti ini di TikTok dan akhirnya terpaksa menghentikannya kerana tidak mampu memenuhi permintaan.

“Ini disebabkan saya seorang sahaja yang membuatnya dengan sebuah ketuhar di mana ia sememangnya tidak dapat memenuhi permintaan.

“Insya-ALLAH saya kini berusaha mengumpul modal dan juga mencari tapak yang sesuai untuk mengembangkan lagi perniagaan sedia ada ini,” tuturnya lagi.

Miera bagaimanapun bersyukur kerana segala kemahiran membancuh adunan, membakar, membungkus dan pemasaran telah dipelajarinya sedikit demi sedikit dari ibu.

Ini sedikti sebanyak membantunya menguruskan sendiri perniagaan yang diusahakannya hari ini.

Inovasi baulu

Apa yang lebih membanggakan, Miera bukan sahaja menjual baulu asli tetapi turut membuat inovasi dengan menghasilkan enam jenis baulu berinti dan dua baulu berperisa.

Selain menjual baulu asli, Miera turut menjual baulu berinti seperti nutella, cadbury, strawberi, blueberi, coklat dan biscoff di samping dua jenis yang berperisa iaitu pandan dan coklat.

Baulu berinti Cadburry ditandakan dengan tanda coklat.
Baulu berinti Cadburry ditandakan dengan tanda coklat.

“Setakat ini baulu berinti nutella dan cadbury mendapat permintaan yang tinggi di samping baulu asli yang tidak pernah putus tempahan.

“Yang pasti, resipi asli mak masih lagi dipertahankan sehingga hari ini dan alhamdulillah maklum balas pelanggan semuanya positif,” katanya.

Harga

Berbicara mengenai harga pula, Miera menegaskan semua sedia maklum hari ini harga barangan runcit di pasaran semuanya mahal.

Jadi baulu yang dijualnya juga mengalami kenaikan harga tetapi masih lagi berpatutan dengan ke•istimewaan baulu buatannya terletak pada tekstur kuih itu.

Membungkusnya di dalam bekas plastik yang boleh memuatkan 30 biji, bagi baulu inti Nutella, Cadbury dan Biscoff ia jual pada harga antara RM 15 hingga RM25.

Bagi baulu berperisa dan asli pula dijual antara RM10 hingga RM14 sebekas.

Sebelum menutup bicara, Miera menasihatkan usahawan-usahawan sedia ada hari ini agar terus bertahan dan gunakanlah setiap platform media sosial untuk mempromosikan produk masing-masing.

Tidak ketinggalan bagi mereka yang baru berkecimpung dalam bidang perniagaan lakukan dengan bersungguh-sungguh kerana sekiranya dilakukan dengan betul tidak mustahil keuntungan pasti ada.

Profil

Nama penuh: Amiera Najieha Ahmad

Umur: 28 tahun

Asal: Langkawi, Kedah

Status: Berkahwin

Cahaya mata: Wan Nur Aaira Wan Muhamad Faris

Suami: Wan Muhamad Faris Wan Kamarulzaman

Facebook: taukebauluinti

Instagram: taukebauluinti

Shopee: Tauke Baulu Inti

TikTok: tauke_baulu_inti

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp