

Teknologi elektrik paling laris!
Pilih kursus teknologi elektrik, bukti TVET mendapat tempat di hati generasi muda
Dunia kemahiran kini bukan lagi terhad kepada enjin atau pertukangan semata-mata, ia berkembang pantas selari kemajuan teknologi seperti sistem elektrik, automasi dan kecerdasan buatan.
Tidak hairanlah, bidang teknologi automotif, teknologi permesinan, teknologi mekatronik, teknologi elektrik, teknologi penyejukbekuan dan penyamanan udara serta teknologi kimpalan menjadi pilihan utama pelajar aliran kejuruteraan.
Dengan peluang kerjaya yang luas dan berkeperluan tinggi dalam industri, Tenaga Pengajar Teknologi Telekomunikasi Institusi Latihan Perindustrian (ILP), TS Mohd Shahril Affandi Abdul Majid mengakui bahawa ramai anak muda melihat TVET sebagai laluan masa depan yang menjanjikan.

“Teknologi elektrik menjadi pilihan utama untuk pelajar memilih ILP cawangan Kepala Batas iaitu 35 peratus merangkumi kursus asas dan kuasa. Penyejukbekuan dan penyamanan udara pula kedua teratas iaitu 25 peratus.
“Angka ini dianggar berdasarkan purata pendaftaran tahunan 2022 hingga 2024 yang mencerminkan minat pelajar dan keperluan industri sekitar Kepala Batas,” katanya kepada Sinar Bestari.
Dalam tempoh tiga hingga lima tahun kebelakangan ini, kemasukan pelajar ke industri TVET menunjukkan peningkatan yang konsisten.
Mohd Shahril Affandi berkata, ia didorong beberapa faktor antaranya kesedaran orang awam dan ibu bapa terhadap kepentingan TVET.

“Ia boleh dijelaskan lagi apabila kebolehpasaran graduan semakin jelas, ramai menyedari bahawa graduan ILP mudah mendapatkan pekerjaan.
“Permintaan industri yang meluas untuk tenaga mahir dalam sektor automotif, permesinan, mekatronik dan kimpalan. Secara tidak langsung, ia mendorong lebih ramai calon memilih kursus ILP,” katanya.
Tambah Mohd Shahril Affandi, secara keseluruhan ILP mencatat pertumbuhan purata antara 10 hingga 15 peratus dari 2019 hingga 2023.

“Ia tidak termasuk tahun 2021 kerana negara terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memulih dengan pantas pada 2022 hingga 2023 ke paras melebihi prapandemik,” katanya.