Ujian Pertengahan Sesi Akademik diukur melalui Tahap Penguasaan setiap pelajar
Bermula minggu ini dan minggu depan, semua sekolah di seluruh negara sedang dan bakal melaksanakan Ujian Pertengahan Sesi Akademik (UPSA) Sesi 2023/2024.
Calon-calon yang menduduki ujian tersebut terdiri daripada murid sekolah rendah Tahap Dua iaitu Tahun Empat, Lima dan Enam manakala di sekolah menengah pula adalah pelajar dari Tingkatan Satu, Dua dan Tiga.
Bagi sekolah rendah, murid-murid akan menduduki beberapa mata pelajaran yang telah ditetapkan seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.
Di peringkat sekolah menengah pula, mereka akan menjalani UPSA untuk subjek-subjek antaranya Bahasa Melayu, Bahasa Ingggeris, Sejarah, Bahasa Arab, Bahasa Cina, Pendidikan Islam, Sains Komputer, Reka Bentuk dan Teknologi serta Geografi.
Kebiasaannya, UPSA dilaksanakan pada penggal kedua sesi persekolahan 2023/2024.
Tarikh UPSA tidak seragam seperti Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) kerana pelaksanaannya mengikut takwim semasa sekolah.
Berkenaan kertas peperiksaan UPSA pula, ia mengandungi soalan objektif dan subjektif bagi setiap subjek.
Bilangan soalan dan pemarkahan bergantung kepada panitia mata pelajaran sekolah masing-masing.
Dari segi penilaian, UPSA tidak menggunakan format gred atau markah, sebaliknya murid dan pelajar akan diukur melalui sistem baharu yang dikenali sebagai Tahap Penguasaan (TP).
Sistem ini diukur dari TP1 hingga TP6 mengikuti deskriptif tahap tersebut iaitu;
TP1: Tahu - Pelajar boleh melaksanakan tugas asas, memiliki pengetahuan asas atau bertindak balas terhadap situasi mudah.
TP2: Tahu dan Faham - Pelajar menunjukkan pemahaman dengan menyesuaikan gaya komunikasi mereka atau dengan menterjemah dan menghuraikan apa yang telah mereka pelajari.
TP3: Tahu, Faham dan Boleh Buat - Pelajar menunjukkan pemahaman dengan menyesuaikan gaya komunikasi mereka atau dengan menterjemah, menghuraikan dan mengaplikasikan apa yang telah mereka pelajari.
TP4: Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Beradab - Pelajar mempraktikkan sesuatu kemahiran dengan melalui proses atau secara berkaedah.
TP5: Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Beradab Terpuji - Pelajar menunjukkan bakat dalam suasana novel dengan mematuhi protokol atau bertindak secara teratur, konsisten dan positif.
TP6: Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Beradab Mithali - Pelajar mampu bersikap optimistik; kreatif dan berimaginasi; mereka boleh menunjukkan contoh dengan menggunakan pengetahuan dan kebolehan mereka secara sistematik untuk situasi baharu.
Biarpun ini hanyalah ujian pertengahan, namun para pelajar tidak harus memandang ringan terhadapnya.
Anda harus mengulang kaji pelajaran demi mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam peperiksaan tersebut.
Akhir sekali, para pelajar dinasihatkan tidak tidur terlalu lewat dan berjaga malam untuk menelaah buku.
Ini kerana badan yang sihat dan bertenaga sangat penting untuk terus fokus ketika menjawab soalan peperiksaan.
Semoga berjaya!