Peruntukan tambahan RM5 juta diperuntukkan bagi tujuan pemasangan CCTV di sekolah-sekolah yang telah dikenal pasti di seluruh negara.
Peruntukan tambahan RM5 juta diperuntukkan bagi tujuan pemasangan CCTV di sekolah-sekolah yang telah dikenal pasti di seluruh negara.

11 langkah tambahan untuk tingkatkan keselamatan institusi pendidikan & tangani disiplin murid di sekolah - KPM

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
22 Oct 2025 09:42am

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa beberapa langkah tambahan akan diperkenalkan bagi meningkatkan aspek keselamatan dan menangani isu disiplin murid di semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan pada Rabu, langkah-langkah tersebut akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat bagi memastikan sekolah kekal sebagai tempat yang selamat, kondusif dan sejahtera untuk proses pembelajaran.

1) Peruntukan tambahan RM5 juta diperuntukkan bagi tujuan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah-sekolah yang telah dikenal pasti di seluruh negara. Ini adalah tambahan kepada peruntukan RM3 juta yang diperuntukkan untuk pemasangan CCTV di sekolah sebelum ini.

2) Seramai 10,096 guru baharu termasuk lebih 500 Guru Bimbingan dan Kaunseling akan ditempatkan di sekolah-sekolah seluruh negara pada November 2025. Ia dapat membantu memenuhi keperluan semasa dan meningkatkan aspek psikososial murid.

3) Seramai 600 Pembantu Warden Asrama Sepenuh Masa akan dilantik dalam kalangan personel MySTEP bertujuan meningkatkan pemantauan keselamatan murid asrama sekali gus mengurangkan beban tugas Warden Asrama.

4) Jawatankuasa Pemuafakatan di peringkat sekolah akan diperkukuhkan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut merangkumi fungsi Pegawai Penghubung Sekolah. PDRM akan melaksanakan pemantauan keselamatan di semua institusi pendidikan KPM.

5) Fungsi Smart Support Team di peringkat jabatan pendidikan negeri (JPN) dan pejabat pendidikan daerah (PPD) akan terus diperkasakan bertujuan membantu dari aspek psikososial dalam situasi krisis. Guru-guru akan diberi latihan dan pendedahan berterusan bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan di sekolah.

6) Meningkatkan peranan Pengetua dan Guru Besar serta Jawatankuasa Disiplin dalam menangani isu-isu disiplin murid di sekolah. Pada waktu ini, peraturan dan garis panduan yang sedang berkuat kuasa turut melibatkan kuasa merotan murid, menggantung sekolah dan membuang sekolah.

Artikel Berkaitan:

7) Pengetua dan Guru Besar boleh menurunkan kuasa kepada guru untuk mendisiplinkan murid berdasarkan kepada keperluan. Pada waktu ini KPM sedang dalam proses menggubal semula peraturan disiplin murid.

8) Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) akan diteliti semula bagi tujuan tambah baik. Sistem ini perlu digunakan secara proaktif untuk mengurus isu disiplin termasuk langkah untuk menanganinya. Institusi pendidikan diminta untuk memberi tumpuan khusus kepada tindakan yang perlu diambil bagi menangani isu disiplin yang berbangkit.

9) Suara guru dan murid di sekolah perlu diberi perhatian. Sesi pertemuan dan dialog dengan murid dan guru perlu diadakan untuk mengetahui keperluan dan perkara yang berbangkit. Inisiatif 'kotak suara murid' adalah selaras dengan advokasi suara kanak-kanak seperti yang disyorkan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

10) Polisi Perlindungan Kanak-Kanak (CPP) akan dimuktamadkan dalam tempoh waktu terdekat bertujuan melindungi murid di sekolah.

11) KPM dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperkukuhkan program saringan kesihatan mental bermula dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam termasuk intervensi dan sokongan psikososial yang berterusan untuk murid.

 

 

Ringkasan AI

  • Kementerian Pendidikan Malaysia akan meningkatkan aspek keselamatan dan menangani isu disiplin di institusi pendidikan
  • Peruntukan tambahan RM5 juta untuk pemasangan kamera CCTV di sekolah
  • Penempatan lebih 10,096 guru baharu termasuk Guru Bimbingan dan Kaunseling pada November 2025
  • Kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia untuk memperkuatkan Jawatankuasa Pemuafakatan di peringkat sekolah
  • Peningkatan program saringan kesihatan mental murid dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp