2 beradik maut dalam perjalanan ke sekolah
Dua beradik maut dalam perjalanan ke sekolah selepas motosikal ditunggangi bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 45 Jalan Hutan Melintang-Bagan Datuk, Perak pada Khamis.
Kejadian sekitar jam 7 pagi itu mengorbankan Muhammad Lutfil Faiq Abdullah, 15, dan adik perempuannya, Nur Lidiya Faiqah, 13, kedua-duanya pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Muara dekat sini.
Lebih memilukan, kejadian dikatakan berlaku hanya kira-kira 300 meter dari pagar sekolah mereka.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, siasatan awal mendapati, motosikal jenis Modenas Kriss ditunggangi mangsa dari arah Bagan Datuk ke Hutan Melintang gagal memotong ketika melalui tempat kejadian.
Menurutnya, keadaan itu mengakibatkan motosikal berkenaan berlanggar dengan sebuah kereta jenis Perodua Viva dipandu seorang wanita dari arah bertentangan.
“Akibat kemalangan, dua beradik itu terjatuh atas jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemandu kereta berusia 28 tahun pula mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, pemandu wanita berkenaan telah dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Katanya, siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Mayat dua beradik itu dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat,” katanya.
Ahmad Adnan turut meminta mana-mana saksi yang menyaksikan kemalangan atau mempunyai rakaman nahas untuk tampil membantu siasatan.