HomeBuletin200 murid ‘belajar sambil bermain’ menerusi Program Pemerkasaan Sahsiah Pelajar dan Smart...

200 murid ‘belajar sambil bermain’ menerusi Program Pemerkasaan Sahsiah Pelajar dan Smart Learning

Tiga buah sekolah sekitar daerah Chenor, Pahang, telah terpilih mengikuti Program Pemerkasaan Sahsiah Pelajar dan Smart Learning anjuran Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini.

Sekolah-sekolah bertuah tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sekara, SK Bukit Lada dan SK Bukit Bota.

Menurut Pengarah PKPP, UPM, Profesor Madya Dr Omrah Hassan @ Hussin, program tersebut diadakan bertujuan memperkasakan penguasaan Bahasa Inggeris dan kemahiran dalam bidang sains.

Tambah beliau, program yang berpaksikan elemen pemindahan ilmu itu amat membantu meningkatkan kualiti pendidikan dan kemahiran para peserta.

“Program ini membabitkan penyertaan 200 murid Tahap Dua dari tiga sekolah berkenaan.

“Berkonsepkan ‘belajar sambil bermain’, ternyata program ini berjaya menarik minat peserta sekali gus memberi kesedaran kepada mereka tentang keperluan kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dan kepentingan bidang sains,” ujarnya kepada Sinar Bestari.

Apabila ditanya mengenai penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid hari ini, Omrah memberitahu, setiap orang perlu mahir bahasa tersebut.

“Penguasaan Bahasa Inggeris penting kerana ia menjadi bahasa perantaraan yang diguna pakai di seluruh dunia.

“Kemahiran menguasainya memang wajar dalam memastikan generasi muda berupaya menghadapi cabaran dunia yang semakin mencabar,” tuturnya lanjut.

Selain mengikuti program tertentu untuk mahir bahasa itu, Omrah menjelaskan, kemahiran berbahasa Inggeris harus bermula dari rumah manakala di sekolah, guru-guru akan bertindak membantu mereka bertutur menggunakan struktur ayat yang betul.

“Malah, guru-guru juga akan memperkenalkan perkataan dan kosa kata baharu dan banyak lagi kepada murid-murid,” ujar Omrah.

Sementara itu, program Pemerkasaan Sahsiah Pelajar dan Smart Learning yang diadakan di SK Sekara dikendalikan oleh barisan fasilitator yang terdiri daripada 21 ahli Kelab Pembangunan Insaniah (INSAN), UPM.

Sepanjang dua hari program berlangsung, pelbagai aktiviti telah disediakan kepada peserta yang menyertainya.

Antara aktiviti tersebut ialah latihan dalam kumpulan, Let’s Correct Our Grammar Together, Words Cross dan Create Me.

Akhir sekali, Sinar Bestari berharap semua peserta akan mendapat pelbagai pengetahuan dan pengalaman baharu menerusi program menarik itu.

Artikel berkaitan 

Tahniah pensyarah dan penyelidik UPM! Rangkul 9 pingat emas di PECIPTA 2022

Sekolah Perniagaan Malaysia UPM terima akreditasi EQUIS

Inovasi pelajar SBPI Temerloh cipta sejarah, bawa pulang 7 pingat untuk negara


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok