Inovasi pelajar SBPI Temerloh cipta sejarah, bawa pulang tujuh pingat untuk negara
Inovasi pelajar SBPI Temerloh cipta sejarah, bawa pulang tujuh pingat untuk negara

Inovasi pelajar SBPI Temerloh cipta sejarah, bawa pulang 7 pingat untuk negara

Roshlawaty Md Raieh
23 Nov 2022 11:33am
A
A
A

Tujuh inovasi yang dihasilkan kumpulan pelajar dari Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Temerloh, Pahang akhirnya membawa tuah apabila berjaya meraih tujuh pingat menerusi Pertandingan Indonesia Inventors Day 2022, di Udayana University Bali, Indonesia, baru-baru ini.

Tujuh pingat tersebut terdiri daripada tiga emas, dua perak dan dua gangsa. Pingat emas dirangkul menerusi inovasi Eco Tin Composite Dental, Mycellia Bio-P dan OPF-Oil Palm Fronds To Test Wet Strength In Paper Making From Oil Palm Fronds.

Manakala pingat perak pula diraih inovasi Kalumina dan Socoil-Soap From Waste Cooking Oil.

Bagi inovasi Centennial Garden dan Poplasty-AC pula telah dinobatkan sebagai penerima pingat gangsa.

Menurut Ketua Kontinjen merangkap Penolong Kanan Pentadbiran, Cikgu Fakharudin Shahudin, setiap inovasi daripada kumpulan pelajar dihasilkan menggunakan bahan-bahan tertentu.

Inovasi Mycellia Bio-P dihasilkan oleh kumpulan pelajar ini.

Sebagai contoh, Eco Tin Composite Dental dihasilkan menggunakan bahan tampalan gigi daripada tulang ikan patin; Mycellia Bio-P menggunakan bahan alternatif gantian plastik daripada kumpulan cendawan yang senang untuk membantu proses pereputan manakala OPF-Oil Palm Fronds To Test Wet Strength In Paper Making From Oil Palm Fronds adalah penghasilan kertas turas daripada bahan buangan kelapa sawit.

Cikgu Fakharudin melahirkan penghargaan dan ucapan terima kasihnya kepada 30 pelajar yang telah bertungkus lumus menghasilkan tujuh inovasi tersebut.

“Bukan mudah untuk menang dalam Indonesia Inventors Day 2022 ini.

“Ini kerana, kebanyakan inovasi yang dipertandingkan cukup hebat. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana Malaysia berjaya membawa pulang tujuh pingat menerusi inovasi pelajar sekolah ini,” katanya kepada Sinar Bestari.

Selain Cikgu Fakharudin, beberapa orang guru lain yang turut serta dalam delegasi ke Indonesia ialah Cikgu Norazura Jaballudin, Cikgu Mohammad Izzwan Zahanuddin, Cikgu Ghazali Sabudin, Cikgu Nur Atiqah Akhyani dan Cikgu Nurhazwani Zanuddin.

Pasukan pelajar SBPI Temerloh yang membangunkan inovasi Eco Tin Composite Dental.

Sementara itu, Pengetua SBPI Temerloh, UmiNafisah Md Sirat berkata, kejayaan para pelajarnya itu telah membanggakan seluruh warga sekolah.

“Tahniah kerana mengharumkan nama negara dan sekolah. Semoga anda semua akan terus mencipta lebih banyak kecemerlangan dan kegemilangan dalam pelbagai bidang lain lagi,” ujarnya.

Dalam pada itu, lima pensyarah Pusat Pengajian Sains, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Jengka dilantik sebagai pembimbing dalam projek inovasi tersebut.

Mereka terdiri daripada Profesor Ts Dr Megat Ahmad Kamal Megat Hanafiah, Dr Agustono Wibowo, Dr Norshahidatul Akmar Mohd Shohaimi, Haslizaidi Zakaria dan Amran Shafie.

Akhir sekali, Sinar Bestari mendoakan adik-adik di SBPI Temerloh akan terus mencipta lebih banyak inovasi yang hebat sekali gus merangkul pelbagai pingat dalam apa jua pertandingan akan datang.

Pasukan pelajar yang menghasilkan inovasi OPF-Oil Palm Fronds To Test Wet Strength In Paper Making From Oil Palm Fronds dan berjaya meraih pingat emas.

INFO

Tujuh inovasi dihasilkan pelajar SBPI Temerloh

1) Eco Tin Composite Dental

Penghasilannya menggunakan bahan tampalan gigi daripada tulang ikan patin.

2) Mycellia Bio-P

Dihasilkan daripada bahan alternatif gantian plastik daripada kumpulan cendawan yang senang untuk membantu proses pereputan.

3) OPF-Oil Palm Fronds To Test Wet Strength In Paper Making From Oil Palm Fronds

Penghasilan kertas turas daripada bahan buangan kelapa sawit.

4) Kalumina (Green Technology, Biofuels)

Penghasilan daripada BioDiesel, minyak masak terpakai.

5) Socoil-Soap From Waste Cooking Oil (Green Technology, Biofuels)

Dihasilkan daripada sabun mandi dan sabuh basuh pinggan serta minyak masak terpakai.

6) Centennial Garden

Penghasilan satu bentuk penanaman moden yang menggunakan semua bahan terpakai, air terpakai, kaedah vertical dan baja daripada makanan lebihan.

7) Poplasty-AC

Penghasilan karbon aktif daripada polisterin dan bahan buangan kelapa sawit untuk merawat air.

Artikel berkaitan 

Inovasi aiskrim BetaGac baik untuk kesihatan

Inovasi Kit Booster bantu pelajar fahami proses elektrolisis

ECS 4 pelajar Malaysia bawa tuah! Raih pingat emas pertandingan inovasi di Jerman


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok