58,759 pelajar berjaya kumpul 110 tan sisa kitar semula
58,759 pelajar berjaya kumpul 110 tan sisa kitar semula

58,759 pelajar berjaya kumpul 110 tan sisa kitar semula

Roshlawaty Md Raieh
15 Nov 2022 09:17am
A
A
A

Seramai 58,759 pelajar sekolah menengah dari Melaka, Johor dan Negeri Sembilan berjaya mengumpul 110 tan sisa kitar semula menerusi program Waste Management Association of Malaysia (WMAM) Eco Youth Challenge (WEYC) 2022, baru-baru ini.

Daripada jumlah tersebut, sisa kertas campur merekodkan kutipan tertinggi iaitu sebanyak 63 tan, diikuti oleh sisa besi 14 tan dan sisa plastik sebanyak 7.9 tan.

Menurut Pengerusi WMAM, Ho De Leong, penganjuran program ini amat bertepatan dengan agenda Kelestarian Alam Sekitar untuk menjadikan semua pihak terutamanya generasi muda sebagai barisan paling hadapan dalam memperjuangkan isu-isu kelestarian alam.

Katanya, penganjuran ini penting dalam usaha melahirkan generasi pelapis negara yang dapat menerapkan nilai-nilai murni terhadap penjagaan alam sekitar.

De Leong berkata, WEYC 2022 juga mampu memberi pendidikan kepada para pelajar tentang penggunaan sumber terpakai yang dapat menjadi penjana ekonomi (Local Economic Development - LED).

“Besar harapan saya agar penyertaan pelajar dalam program ini mampu memberi kesedaran yang tinggi berkaitan alam sekitar,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah WEYC 2022 di DoubleTree by Hilton Hotel Melaka, baru-baru ini.

De Leong

WEYC 2022 yang dilancarkan Mei lalu menerima penyertaan keseluruhan daripada 65 buah sekolah bagi lima kategori yang dipertandingkan.

Lima kategori itu terdiri daripada Pertandingan Mengumpul Barangan Kitar Semula; Pertandingan Ukiran Bahan Daripada Barangan Kitar Semula; Pertandingan Video Pendek; Pertandingan Mendeklamasi Sajak dan Pertandingan Menulis Esei.

Sepanjang tempoh pertandingan berlangsung, pelbagai aktiviti diadakan di sekolah yang terlibat seperti perkongsian ilmu mengenai kepentingan sistem ekologi, aktiviti 3R (Kurangkan, Guna Semula dan Kitar Semula) dan pengurangan pelepasan karbon.

Selain itu, peserta turut diuji dan dilatih bagaimana menganalisa data, bekerja secara berpasukan serta bagaimana membina hubungan dengan persekitaran tempatan untuk mendorong perubahan dalam komuniti mereka.

Artikel berkaitan 

Murid SK Bandar Seri Putra timba pengalaman berharga menerusi latihan praktikal bahan kitar semula

Hasilkan pakaian guna tekstil kitar semula, pelajar Taylor’s University sokong Matlamat SDG

Kerana kasih seorang guru, Ustaz Ismail sanggup ke sekolah di pedalaman kongsi ilmu robotik


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok