700 pelajar SMK Bandar Baru Sintok sertai Fun Run Merdeka
700 pelajar SMK Bandar Baru Sintok sertai Fun Run Merdeka

700 pelajar SMK Bandar Baru Sintok sertai Fun Run Merdeka

Roshlawaty Md Raieh
29 Aug 2022 05:02pm
A
A
A

Seramai 700 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sintok, Kedah menjayakan program Fun Run Merdeka yang bertujuan menyemarakkan semangat kemerdekaan serta sinar dalam jiwa rakyat Malaysia.

Program yang bermula dari SMK Bandar Baru Sintok sehingga ke Dewan Tan Sri Othman, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah dimeriahkan dengan kibaran Jalur Gemilang oleh semua peserta.

Ketika tiba di dewan tersebut, para pelajar berpeluang mengikuti ceramah motivasi yang disampaikan Naib Canselor UUM, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah.

Dalam motivasinya, Dr Haim Hilman membawa pelajar merenung kembali perjuangan ibu bapa yang sanggup berkorban apa sahaja demi masa depan anak-anak.

Selain itu, beliau turut menasihatkan pelajar supaya menjaga hubungan dengan ALLAH, solat lima waktu, taat kepada ibu bapa dan sebagainya.

Dalam pada itu, Pengetua SMK Bandar Baru Sintok, Shamsudin Aroff berkata, program Fun Run Merdeka diadakan selaras dengan tema Hari Kebangsaan iaitu ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ yang membawa maksud kekuatan dan kesepaduan kolektif oleh keluarga Malaysia dalam mengharungi pelbagai cabaran dengan semangat sebuah keluarga.

Ujarnya, semangat ini harus disemarakkan dan dihayati agar kehidupan kita lebih sejahtera dalam menghadapi rintangan.

“Kita seharusnya berasa bertuah menjadi sebahagian daripada rakyat negara yang berdaulat dan merdeka hingga dapat mengecapi kehidupan dalam suasana yang harmonis, aman dan sejahtera.

“Dengan nikmat kemerdekaan, kita lebih selesa, harmoni dan makmur serta bertolak ansur dalam menjalinkan hubungan yang secara tidak langsung membawa perpaduan kaum.

“Perkara ini suatu nikmat yang amat berharga, justeru nilai perpaduan perlu dipupuk dan dipelihara agar kemerdekaan dapat dipertahankan sampai bila-bila," katanya.

Ujarnya, dalam ledakan era globalisasi ini, pelajar perlu mempunyai ketahanan mental bagi menghadapi cabaran yang membabitkan penjajahan minda oleh pengaruh asing.

“Oleh itu, persiapkan diri dengan semangat patriotisme yang tinggi agar menjadi lebih kompetitif dan dinamik," katanya.

Artikel berkaitan 

7 tip hayati kemerdekaan cara Ustaz Quszaini

Warga UTeM diseru hayati erti dan tema kemerdekaan ke-65

76 pelajar UUM selami kehidupan Orang Asli suku Kensiu di Baling, Kedah


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok