
Amayan, pelajar genius pasang impian sambung belajar ke UK!
Ammar Ahyan atau lebih mesra disapa sebagai Amayan, semakin menjadi sebutan dalam dunia hiburan Malaysia.
Namanya mula dikenali kerana telatah spontan, kejujuran tanpa tapisan dan kebolehan berniaga di laman sosial yang mencuri perhatian ramai.
Rata-rata warga maya menyifatkan bakat keusahawanan Amayan mungkin diwarisi daripada kedua-dua ibu bapanya iaitu Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dan Datin Nur Shahida Mohd Rashid.
Namun, di sebalik imej ceria yang sering dipaparkan di media sosial, Amayan sebenarnya mempunyai sisi lain yang lebih mengagumkan.
Pada usia baru 17 tahun, anak muda ini rupa-rupanya memiliki kelebihan yang tidak dijangka dalam bidang akademik.
Ramai mengenalinya sebagai personaliti yang bersahaja, tetapi di dalam kelas, Amayan tampil sebagai seorang pelajar berbeza iaitu tekun, berhala tuju, berfikiran tajam dan sentiasa berusaha mencapai kecemerlangan.
Kejayaan akademiknya bukan sahaja menjadi kebanggaan keluarga, malah menjadi bukti bahawa setiap anak memiliki potensi luar biasa apabila diberi ruang, peluang dan bimbingan yang betul.

Walaupun anak kepada usahawan terkenal negara, Amayan tidak menjadikan status itu sebagai alasan untuk goyang kaki.
Sejak kecil, Amayan sudah dididik bahawa kejayaan bukan hanya diukur melalui harta, tetapi juga melalui ilmu yang dimiliki.
Pesanan abahnya sering terngiang-ngiang di telinga: 'Duit boleh dicari, tetapi akademik dan ilmu tidak boleh dibeli.'
Kata-kata inilah yang menjadi kekuatan buat anak sulung daripada enam beradik ini untuk terus berusaha.

Sementara itu, menerusi video yang dimuatnaik oleh Aliff Syukri di laman Instagram baru-baru ini, beliau berkata, masa berlalu begitu pantas, anak yang dahulunya ditimang-timang sudah pun memasuki kolej.
"Amayan seorang anak yang cukup istimewa, selain cemerlang dalam akademik, dia juga anak berdikari dan sentiasa mahu buat yang terbaik untuk keluarga," katanya.
Dalam pada itu, Amayan menegaskan bahawa kejayaan tidak datang bergolek dan setiap individu memerlukan pengorbanan serta kesungguhan untuk mencapainya.
Baginya, tiada jalan pintas dalam usaha menuju kecemerlangan.
"Sebenarnya papa telah banyak berkorban untuk saya. Doakan agar sebaik sahaja menamatkan program asasi di Taylor’s University, saya berpeluang menyambung pengajian lebih tinggi di United Kingdom (UK).
"Inilah cara saya menghargai pengorbanan keluarga. Saya mahu belajar bersungguh-sungguh, berjaya dan akhirnya pulang untuk meraikan kejayaan ini bersama mereka," akhiri alumni Seven Skies International School.
