Dron EduKit Meraque sedia aktiviti pembelajaran menyeronokkan kepada kanak-kanak
Dron EduKit Meraque sedia aktiviti pembelajaran menyeronokkan kepada kanak-kanak

Dron EduKit Meraque sedia aktiviti pembelajaran menyeronokkan kepada kanak-kanak

Roshlawaty Md Raieh
08 Nov 2022 06:28pm
A
A
A

Dron bukanlah satu perkara baharu dalam dunia teknologi hari ini. Popularitinya bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak dan remaja bahkan golongan dewasa dan yang berusia juga begitu mengenali gajet ini.

Melihat perkembangan dron yang semakin dikenali ramai, Meraque yang tersenarai sebagai salah satu daripada 20 Syarikat Dron Terbaik dunia, telah melancarkan Dron EduKit Meraque yang memberi inspirasi kepada kanak-kanak di Malaysia untuk memasang, mengekod dan menerbangkan dron mereka dalam masa 15 minit sahaja.

Dron EduKit Meraque yang merupakan sebuah modul pembelajaran telah direka oleh bekas pendidik dengan kerjasama pakar pembangunan kanak-kanak.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Meraque, Md Razalee Ismail, Dron EduKit Meraque meliputi beberapa aspek iaitu peraturan; keselamatan; komponen dan kawalan; teknologi dalam pelbagai dron serta aplikasi dalam industri dron.

Sambungnya, setiap aspek itu menyediakan pelbagai aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan dan mencabar.

“Dron EduKit Meraque turut memberi peluang kepada kanak-kanak untuk belajar dengan lebih lanjut mengenai litar ringkas, pengekodan dan pemprograman dalam persekitaran yang selamat.

“Kami juga bekerjasama dengan Kelab Rakan Udara Malaysia (KRUM), sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) untuk merealisasikan program ini,” ujarnya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan, baru-baru ini.

Sementara itu, Meraque turut melancarkan Program Pembangunan Kerjaya Teknologi Dron Generasi Muda Malaysia pada Februari lalu untuk melatih 500 belia dengan set kemahiran yang diperlukan dalam teknologi dan perkhidmatan dron menjelang 2023.

Md Razalee berkata, Meraque mahu mencari dan membentuk bakat-bakat muda dalam bidang teknologi kerana potensi pasaran global untuk kemahiran dron sangat tinggi.

“Permainan dron perlu dipupuk sejak dari kecil dan oleh itu, berjinak-jinak dengan dron dalam apa sahaja program adalah cara terbaik untuk mencetuskan minat mereka terhadapnya,” tutur beliau.

INFO

Dron EduKit Meraque mempunyai spesifikasi

Jarak Kawalan: 100 meter

Masa Penerbangan: 10 minit

Motor: 1020 diberus

Berat: 128 gram

Jarak roda: 148 milimeter

Komponen: Empat motor, empat kipas, empat kipas tambahan, hab dron dengan kamera atas-papan, bateri dan pengecas bateri

Artikel berkaitan 

2 Jurutera Pengajar wanita dari UTeM kini pengendali dron profesional 

Teknologi dron dan cabaran masa hadapan

Kemahiran pengendalian dron bukan sekadar hobi, kini profesion dalam pelbagai industri


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok