BETAGAC-SINARBESTARI-2022
BETAGAC-SINARBESTARI-2022

Inovasi aiskrim BetaGac baik untuk kesihatan

nadzarul.amir
22 Nov 2022 11:54am
A
A
A

Sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menghasilkan aiskrim BetaGac yang mengandungi beta karotena dan anti oksidan yang tinggi buah Gac atau nama saintifiknya Momordica cochinchinensis.

Aiskrim ini dikatakan baik untuk kesihatan manusia serta boleh mengurangkan risiko penyakit berkaitan mata dan jantung.

Penyelidikan dijalankan dengan mengggunakan Geran Commercialization Initiative Fund (CIF) oleh enam penyelidik yang diketuai Dr Faridah Yahya, Profesor Madya Ts Dr Fauziah Tufail Ahmad, Dr Ramisah Mohd Shah, Dr Shayuti Mohamed Adnan, Dr Azlinzuraini Ahmad dan Dr Sarina Ismail.

Dr Fauziah Tufail Ahmad berkata, aiskrim berkenaan diformulasikan dengan menggunakan aril atau selaput biji gac yang tinggi kandungan beta karotena dan antioksidan.

“Pengenalan aiskrim BetaGac adalah untuk memperkenalkan buah gac yang masih tidak popular dalam kalangan masyarakat negara ini.

“Bagaimanapun, buah gac sangat popular di Vietnam dan Thailand hingga digelar sebagai 'superfruit' atau 'buah syurga' berikutan khasiatnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari.

Beliau memberitahu, pemilihan membangunkan aiskrim berbanding produk lain adalah kerana menu makanan berkenaan mempunyai potensi besar untuk dipasarkan dengan lebih meluas ke seluruh negara.

Katanya, ia berikutan aiskrim merupakan antara makanan kegemaran masyarakat negara ini.

Sementara itu, Dr. Faridah memberitahu, buah Gac dapat dituai dalam jangka masa yang singkat kira-kira lima bulan sahaja.

Sehingga kini, beliau menambah, proses penanaman buah Gac masih belum dibuat untuk projek komersial berskala besar.

“Buat masa ini, ia ditanam di stesen penyelidikan Alami UMT di Bukit Kor, Marang, Terengganu untuk tujuan inovasi makanan premium ini dan penyelidikan berkaitan tanaman malah pihak UMT boleh memberi bimbingan kepada komuniti berminat dalam mengusahakan penanaman buah Gac.

“Potensinya sangat besar dan wajar diterokai penduduk Terengganu kerana ia mudah dijaga dan mempunyai permintaan tinggi,” ujarnya.

Jelas beliau, secara umumnya, satu bekas kecil aiskrim BetaGac dengan kandungan bersih 100 mililiter dijual pada harga dalam lingkungan RM7 hingga RM8 di pasaran bandar-bandar besar.

“Begitupun, buat permulaan, kami telah menjual aiskrim BetaGac sejak 1 November lalu pada harga RM5 sahaja iaitu harga yang disubsidi oleh geran pengkomersialan,” tuturnya.

UMT berhasrat menjual lesen kepada pengedar ataupun pengeluar aiskrim tempatan dan membuat jaringan kerjasama antara industri serta universiti menyediakan beberapa model perniagaan khusus bergantung kepada keperluan pasaran.

Artikel berkaitan

Penyelidik UMT jalankan kajian berkaitan habitat dan pembenihan ketam bakau

UMT jayakan World Oceans Week sebagai tanda sokongan terhadap kempen

UMT peka nasib pelajar golongan asnaf, sumbang zakat RM250,000


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok