(Gambar hiasan)
(Gambar hiasan)

Jangan biarkan mereka 'menjerit tanpa suara', segera perkukuh sokongan emosi di sekolah

NURBAYA ABDUL REZAKNURBAYA ABDUL REZAK
08 Jul 2025 12:00am

Lebih 1,000 murid sekolah menengah di Selangor dikenal pasti berisiko tinggi mengalami kemurungan. Statistik ini bukan sekadar angka sebaliknya ia amaran bahawa sistem sokongan emosi dan psikososial di sekolah perlu diberi perhatian segera.

Pendedahan itu dibuat oleh Exco Kesihatan Awam Selangor, Jamaliah Jamaluddin yang mengundang reaksi serius daripada pelbagai pihak. Antara yang tampil bersuara ialah NGO Empati, sebuah pertubuhan yang aktif di lapangan dalam membantu remaja berisiko dan pelajar yang terkesan dengan isu kesihatan mental.

Menurut Presiden NGO Empati, Syahida Zulkarnain, kenyataan ini hanyalah 'permukaan gunung ais'.

“Angka 1,020 murid itu hanyalah permukaan gunung ais yang mana di bawahnya mungkin ribuan lagi sedang menjerit tanpa suara. Jika kita tidak bertindak hari ini, mereka mungkin akan hilang esok secara emosi, akademik atau lebih tragik, nyawa mereka sendiri,” ujarnya menerusi satu kenyataan kepada Sinar Bestari pada Selasa.

Kaunselor sekolah perlu bebas

NGO Empati turut mendedahkan hakikat di sekolah-sekolah hari ini, ramai kaunselor dibebani tugasan pentadbiran hingga gagal menjalankan tugas utama iaitu membantu murid yang bergelut dengan tekanan perasaan, trauma atau kebimbangan melampau.

Dengan nisbah kaunselor kepada murid mencecah 1:500, tanpa latihan profesional secara berterusan dan ruang kaunseling yang selesa, ramai pelajar akhirnya memilih untuk memendam perasaan.

“Sudah tiba masa kita hentikan naratif ‘murid lemah tidak tahan tekanan’ dan mula membina struktur sokongan yang lebih berperikemanusiaan,” tegas Syahida.

Artikel Berkaitan:

5 cadangan realistik

NGO Empati tampil dengan lima cadangan utama demi membina sistem kaunseling sekolah yang lebih berkesan dan berdaya tahan:

  • Garis panduan peranan kaunselor dan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) yang jelas dan dihormati.
  • Latihan berkala untuk kaunselor melibatkan modul seperti Psychological First Aid dan trauma-informed care.
  • Pemerkasaan PRS agar pelajar saling membantu dan tidak rasa bersendirian.
  • Ruang kaunseling yang selamat, selesa dan tidak menghakimi di setiap sekolah.
  • Kempen kesedaran mental sebagai budaya sekolah, bukan sesuatu yang memalukan atau tabu.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp