Kejayaan pembudayaan STEM di sekolah luar bandar, Cikgu Anuthra dinobatkan pemenang Malaysia Teacher Prize 2022
Guru kimia di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa, Tenom, Sabah, Cikgu Anuthra Sirisena Sinnyore diumumkan sebagai pemenang Malaysia Teacher Prize 2022 yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM50,000 beserta trofi.
Anugerah yang ditampilkan buat pertama kalinya dengan kerjasama PEMIMPIN Global School Leaders (GSL) dan YTL Foundation merupakan penghargaan atas jasa beliau yang berjaya menggalakkan pembudayaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan mengintegrasikan teknologi dan gamifikasi dalam bilik darjah.
Hasilnya, sekolah tersebut berjaya tersenarai sebagai 10 sekolah terbaik untuk subjek Kimia Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri Sabah.
Bukan itu sahaja, Cikgu Anuthra juga merupakan pengasas bersama Tenom Innovation Centre (TIC), sebuah pusat inovasi sejak 2018 yang telah melatih lebih daripada 2,000 guru dan murid dari sekolah luar bandar dalam bidang robotik dan pengaturcaraan.
Menurutnya, beliau sudah mula bergiat aktif dalam bidang ini sejak 2013 dan pada tahun 2017 pula beliau telah dihantar untuk menyertai program pengaturcaraan.
“Sepanjang tiga hari menyertai program itu, saya telah berjaya mempelajari pelbagai ilmu baharu dalam bidang ini.
“Jadi, saya telah mencurahkan segala ilmu yang dipelajari kepada 24 anak murid dan mendapati saya bukan sahaja mengajar mereka tentang pengaturcaraan, malah anak-anak murid juga didedahkan dengan nilai kerjasama dan pemikiran komputasional.
“Hasil pendedahan bidang robotik dan pengaturcaraan kepada murid-murid, ramai di antara mereka yang kini sudah memilih bidang tersebut sebagai kerjaya pilihan dan inilah yang benar-benar menyentuh hati saya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penganugerahan Malaysia Teacher Prize 2022 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau juga berhasrat agar hasil kemenangan ini menjadi pemangkin untuk memperluaskan lagi pembudayaan STEM di sekolah-sekolah luar bandar di Sabah.
Jelasnya lagi, pihaknya sudah merancang untuk membahagikan kepada lima bahagian untuk sekolah rendah, sebagai contoh zon yang terdapat di kawasan bukit dan di bawahnya.
"Jadi, di setiap zon, mungkin terdapat lima ke 10 sekolah dan sudah ada sekolah yang bergiat dalam bidang STEM.
"Dengan pendekatan yang dilakukan, kami dapat mengenal pasti ekosistem sekolah, guru, pemimpin sekolah yang akan menjadi wakil mereka di tempat inovasi ini,” tambahnya.
Pengarah Program PEMIMPIN GSL, Samuel Isaiah berkata, dedikasi Cikgu Anuthra terhadap profesion dan memastikan setiap murid di dalam kelas mencapai potensi penuh adalah satu usaha yang amat membanggakan.
“Ia juga merupakan salah satu faktor utama yang mendorongnya memenangi anugerah Malaysia Teacher Prize.
“Kami yakin beliau akan dapat mewakili Malaysia Teacher Prize dengan baik dan mempamerkan usahanya kepada komuniti penguruan yang lebih besar,” ujarnya.
Turut hadir dalam majlis penganugerahan itu, Pengarah Program YTL, Datuk Kathleen Chew serta Ketua Pegawai Eksekutif PEMIMPIN GSL, Cheryl Ann Fernando
Sebelum ini, Malaysia Teacher Prize membuka penyertaan bermula 10 Mei 2022 dan tamat pada 30 Jun 2022 sebelum diteruskan dengan penilaian penyertaan guru di seluruh Malaysia yang telah mendaftar.
Lebih 800 permohonan diterima oleh YTL Foundation sejak penyertaan dibuka dengan proses pemilihan bagi senarai pendek dilakukan panel juri termasuk dalam kalangan ahli akademik dan pegawai Kementerian Pendidikan (KPM).
Artikel berkaitan
5 sekolah bertuah diumumkan pemenang ASSSB
Persembahan Gamelan Putra Warisan, ‘choral speaking’, rai kedatangan tetamu kehormat ASSSB
Meriah! SK Chopin bawa rombongan sekolah raikan kemenangan dalam ASSSB