Kem Huffaz Teknokrat kongsi maklumat TVET kepada 57 pelajar di Perak
Kem Huffaz Teknokrat kongsi maklumat TVET kepada 57 pelajar di Perak

Kem Huffaz Teknokrat kongsi maklumat TVET kepada 57 pelajar di Perak

Roshlawaty Md Raieh
03 Nov 2022 03:11pm
A
A
A

Seramai 57 pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Daerah Batang Padang, Bidor, Perak mengikuti Kem Huffaz Teknokrat yang berlangsung selama tiga hari, baru-baru ini.

Program anjuran Techno-Huffaz Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) dengan kerjasama Politeknik Sultan Azlan Shah dan Politeknik Port Dickson yang diadakan di SMA Daerah Batang Padang bertujuan menterjemahkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) - Tahfiz melalui sumbangan ilmu dan kepakaran dalam bidang teknikal, tahfiz serta keusahawanan.

Selain itu, ia juga memberi pendedahan dan membentuk personaliti unggul para pelajar Techno-Huffaz PSA.

Bagi memastikan program berjalan lancar, seramai 31 pelajar dan beberapa pensyarah PSA turut terlibat sekali gus menjadi sumber rujukan kepada peserta program.

Sementara itu, Penolong Kanan Pentadbiran SMA Daerah Batang Padang, Ustaz Samsul Rizal Sabran berkata, pelbagai aktiviti telah disediakan kepada para peserta yang mengikuti kem tersebut.

Antaranya slot Kem Motivasi Minda Pelajar Cemerlang yang disampaikan Da’i Aiman Sufyan Aezman dan slot Keusahawanan Islam oleh personaliti televisyen, Tuan Anwar Afiq, berkongsi ilmu berkaitan bidang usahawan.

Tidak ketinggalan aktiviti mengecat kantin sekolah, penyerahan sumbangan ‘awning’, karpet, buku dan sebagainya malah menerusi platform Bakti Huffaz turut dilaksanakan menambah baik prasarana sekolah.

Dalam pada itu, Ustaz Samsul Rizal melahirkan rasa teruja apabila dimaklumkan PSA menawarkan pensijilan Tahfiz al-Quran di politeknik itu.

“Ramai pelajar sekolah ini yang gembira apabila PSA menawarkan jurusan Tahfiz al-Quran kepada mereka.

Aktiviti mengecat juga turut dimuatkan dalam Kem Huffaz Teknokrat ini.

“Oleh sebab itu, saya sentiasa berpesan kepada anak-anak didik supaya belajar bersungguh-sungguh sekiranya mahu menyambung pengajian dalam program Techno-Huffaz ini,” ujarnya dengan menambah, pihak sekolah akan menawarkan inisiatif khas kepada pelajar sulung mereka yang berjaya masuk ke program tersebut kelak.

Dalam perkembangan lain, Pengarah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Selangor, Dr Mohd Zahari Ismail berkata, politeknik kini menjadi pilihan utama para pelajar berikutan berjaya melahirkan graduan yang holistik sehingga menjadi rebutan majikan.

Ujarnya, graduan aliran TVET sememangnya dicari oleh kebanyakan syarikat sehingga ada antaranya menawarkan gaji yang sangat tinggi.

Mohd Zahari memberitahu, pada masa kini, terdapat 36 politeknik seluruh negara yang menawarkan kursus-kursus kejuruteraan, teknologi serta kursus lain berbentuk soft TVET.

“Kerana kepentingan TVET ini, kami di PSA telah mengambil langkah dengan memberi pendedahan, motivasi dan galakan kepada pelajar menerusi Kem Huffaz Teknokrat.

“Diharapkan perkongsian ilmu berkenaan dapat menarik lebih ramai pelajar sekolah ini untuk menyambung pengajian ke politeknik kelak,” katanya ketika berucap merasmikan Kem Huffaz Teknokrat di SMA Daerah Batang Padang.

Artikel berkaitan 

76 pembentang berkumpul sempena Persidangan TVET dan Keusahawanan Antarabangsa 2022

Pelajar autisme, Nur Arif ingin jadi pensyarah kini pelajar PhD di UIAM

20 pelajar SEPINTAR terpantas khatam al-Quran 30 juzuk hingga tersenarai dalam Sofwatul Huffaz!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok