Konvoi Merdeka 3.0 beri keterujaaan dan pengalaman baharu kepada peserta
Konvoi Merdeka 3.0 beri keterujaaan dan pengalaman baharu kepada peserta

Konvoi Merdeka 3.0 beri keterujaan dan pengalaman baharu kepada peserta

Roshlawaty Md Raieh
13 Sep 2022 09:25am
A
A
A

Konvoi Merdeka 3.0 bagi tahun ini telah disertai kira-kira 138 murid Tahap Dua dari Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Pemanis 1, Segamat, Johor.

Turut serta dalam Konvoi Merdeka 3.0 itu adalah 29 guru serta lima wakil dari Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) SK LKTP Pemanis 1.

Konvoi Merdeka 3.0 merupakan salah satu aktiviti yang dimuatkan dalam Program Jalinan bersama Kolej Komuniti Segamat 2, Johor.

Ia bertujuan meningkatkan penghayatan erti kemerdekaan dalam kalangan murid di samping memberi pendedahan kepada mereka berkaitan kursus kemahiran yang ditawarkan di kolej berkenaan.

Konvoi Merdeka 3.0 diiringi oleh Polis Trafik Segamat.

Konvoi yang bermula di sekolah dan menuju ke Kolej Komuniti Segamat 2 itu dianjurkan Panitia Sejarah sekolah dengan kerjasama Unit Kokurikulum, PIBG dan PIBK.

Sebanyak 15 buah kereta dan dua buah bas sumbangan Persatuan Belia (MBFM) Felda Pemanis 01 telah digunakan.

Turut serta, sebuah kenderaan peronda dan motosikal berkuasa tinggi peronda polis dari Polis Trafik Segamat bagi memastikan keselamatan semua peserta yang mengikuti konvoi tersebut terjamin.

Penyelaras program Konvoi Merdeka 3.0, Cikgu Nurul Izni Ishak berkata, peserta konvoi mula bergerak ke Kolej Komuniti pada pukul 8.20 pagi dan tiba di sana sekitar 9 pagi.

Sebahagian peserta beratur sebelum menaiki bas.

Tambah Cikgu Nurul Izni lagi, peserta telah disambut dengan meriah oleh warga kolej dan mula menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan di situ.

Ujarnya, antara aktiviti menarik dalam program tersebut ialah ceramah kemerdekaan yang disampaikan Guru Penolong Kanan Kokurikulum SK LKTP Pemanis 1, Cikgu Fakhrul Anwar dan sesi pengenalan program serta kursus yang ditawarkan di Kolej Komuniti Segamat 2.

Sambung guru ini lagi, Konvoi Merdeka 3.0 kali ini cukup bertuah kerana berpeluang menyaksikan Majlis Penutupan Minggu Suai Kenal Pelajar Baharu Kolej Komuniti Segamat 2.

Mengulas lanjut, Cikgu Nurul Izni memberitahu, program ini mempunyai makna yang tersendiri kepada semua peserta.

Laungan merdeka sebanyak tujuh kali yang diketuai Cikgu Amirul Izzat Alias.

“Selain menggalakkan murid lebih menghayati erti kemerdekaan, mereka juga berpeluang menimba pengalaman berkaitan kursus yang ditawarkan di Kolej Komuniti ini. Jelas sekali banyak manfaat kepada mereka yang menyertai.

“Justeru, saya sangat berharap mereka lebih memahami apakah makna kemerdekaan di samping memasang impian untuk melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi menerusi penglibatan masing-masing dalam Konvoi Merdeka 3.0 ini,” katanya.

Aktiviti DIY Solar Mini Car bersama pensyarah Kolej Komuniti Segamat 2.

Sementara itu, Guru Besar, Mohamed Salehin Mohamed Yassin melahirkan rasa syukur kerana program kali ini berjalan dengan lancar.

“Sebagai pentadbir, jelas sekali saya gembira dengan hasil kerja semua pihak yang terlibat. Oleh itu, besar harapan saya agar ia terus diadakan lagi pada masa akan datang,” katanya.

Peserta berpeluang mempelajari Teknik Doodle Merdeka.

Dalam pada itu, Pengarah Kolej Komuniti Segamat 2, Nor Dalila Abd Rahman berbesar hati sekiranya program seperti ini dapat diadakan lagi kelak.

"Saya berharap pihak sekolah dapat mengadakan lebih banyak aktiviti atau kursus berkaitan kemahiran agar dapat melahirkan generasi berkemahiran bagi mendepani cabaran pekerjaan semasa," katanya dengan menambah akademik bukan lagi syarat utama bagi mencari pekerjaan pada masa kini. Negara perlu melahirkan lebih ramai generasi yang berkemahiran bagi mencapai Transformasi Nasional 2050.

Cikgu Mohamed Salehin (tengah) bersama ahli jawatankuasa Kolej Komuniti Segamat 2 selepas berakhirnya program.

Artikel berkaitan 

8 kronologi kemerdekaan negara

Murid tonjol semangat patriotisme, cipta robot Merdeka Rero Micro

7 tip hayati kemerdekaan cara Ustaz Quszaini


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok