Fadhlina (tengah) bersama ibu bapa ketika menyempurnakan Program Pendidikan 'Advokasi Kemiskinan Haid' di SMKA Mohamad Ali, Ranau.
Fadhlina (tengah) bersama ibu bapa ketika menyempurnakan Program Pendidikan 'Advokasi Kemiskinan Haid' di SMKA Mohamad Ali, Ranau.

KPM komited bantu isu kemiskinan haid

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
16 Jun 2025 03:42pm

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited dalam membantu pelajar yang terlibat atau menjadi mangsa kemiskinan haid khususnya Sabah.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, sesi libat urus yang diterajui Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) adalah untuk mengenal pasti keciciran yang berlaku dalam kalangan pelajar di negeri ini.

"Kita cuba mengenal pasti keciciran anak-anak kita dan salah satu yang menyebabkan mereka terpinggir adalah mereka terlibat ataupun menjadi mangsa kepada kemiskinan haid.

"Jadi hari ini, kita luncurkan program ini bersama program kesedaran yang berkait rapat dengan kesihatan, keselamatan diri dan pengurusan haid yang bermaruah serta penyerahan kit gadis yang diharap dapat disebar luas ke seluruh negara juga bagi memastikan mesej yang kita nak sampaikan untuk menangani isu kemiskinan haid ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Pendidikan 'Advokasi Kemiskinan Haid' di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Mohamad Ali, di Ranau, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, menerusi program yang dilaksanakan itu, beliau yakin bahawa pelajar akan mendapat kefahaman lebih mendalam tentang hak kesihatan termasuk dalam pengurusan haid.

"Jadi hari ini saya fikir anak-anak ini telah mendapat input yang baik, pencerahan yang sangat mengesankan kerana inilah mesej yang mereka harus bawa dalam masyarakat, termasuk kepada pendidik kita, untuk memastikan bahawa tiada lagi keciciran yang boleh kita kompromi, khususnya apabila ia terkait rapat dengan isu kemiskinan haid ini.

"Anak-anak kita harus mendapat hak mereka untuk pendidikan dan tidak boleh dibelenggu dengan isu-isu seputar seperti kemiskinan haid hanya kerana perkara itu menyebabkan mereka dinafikan hak untuk menyambung pelajaran," tegasnya.

Artikel Berkaitan:

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp