KPM perincikan 3 teras utama dalam Bajet 2023

Adlan Farhan Azwan
07 Oct 2022 08:49am
A
A
A

Sebanyak 11 inisiatif dengan tiga teras utama berkaitan murid, guru dan infrastruktur dengan peruntukan sebanyak RM6.8 bilion telah diperincikan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk dikemukakan pada Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, tiga teras utama tersebut merangkumi peranti guru ke arah pendigitalan pendidikan, kenaikan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan infrastruktur kemudahan Murid Berpendidikan Khas (MBK).

“KPM mahu para guru disediakan dengan peranti supaya ia dapat memudahkan urusan mereka untuk bergerak ke arah pendigitalan pendidikan.

“Selain itu, guru perlu diberi perhatian agar mereka mendapat latihan yang sebaiknya terutamanya dalam konteks inovasi dan kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP),” katanya menerusi satu video di laman Facebook beliau, baru-baru ini.

[embed]https://www.tiktok.com/@drradzijidin/video/7151191547487259930?is_from_webapp=1&sender_device=pc&web_id=7151565775944730114[/embed]

Dalam pada itu, Mohd Radzi turut mengemukakan peruntukan untuk menaikkan kadar RMT kepada kadar yang bersesuaian dengan mengambil kira situasi semasa.

“Sebagai contoh di Semenanjung Malaysia, kadar yang diperuntukan adalah RM2.50 dan terdapat aduan bahawa peruntukan tersebut tidak mencukupi.

“Jadi, KPM telah mengemukakan perkara ini kepada Kementerian Kewangan (MOF) supaya kadar ini ditingkatkan bagi seluruh negara,” tambah beliau.

Jelasnya lagi, pihaknya mengemukakan peruntukan untuk menggalakkan penglibatan murid-murid dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Bukan itu sahaja, banyak lagi perkara-perkara lain yang kita akan kemukakan dengan usaha untuk meningkatkan potensi dan bakat murid di seluruh negara,” ujar Mohd Radzi.

Sementara itu, beliau berkata, peruntukan infrastruktur adalah bagi menangani masalah yang terdapat di sekolah-sekolah daif dengan lebih cepat dan menyeluruh.

“KPM juga memohon peruntukan untuk MBK bagi membina infrastruktur yang membolehkan golongan ini ditempatkan di sekolah-sekolah arus perdana,” tuntasnya.

Artikel berkaitan

KPM lancar portal aduan buli

249,646 lokar dijangka siap pemasangan pada akhir bulan ini

Murid sekolah jadi sasaran penculik, ibu bapa boleh ikuti 10 tip ini elak anak jadi mangsa


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok